Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi mendedahkan badan induk sedia membayar gaji tinggi walaupun RM200,000 untuk mendapatkan khidmat jurulatih berkualiti.

Menurut laporan Berita Harian, soal gaji bukan masalah utama kerana lebih penting adalah jurulatih itu dapat memenuhi sasaran membawa skuad Harimau Malaya ke peringkat lebih tinggi.

Baca Juga:

“Bukan soal gaji kerana kita mahukan jurulatih yang boleh membawa kita ke satu tahap yang lain. Kalau kita ada (jurulatih) gaji RM100,000 sebulan tetapi tak boleh ke mana, baik kita bayar gaji RM200,000 sebulan tetapi boleh bawa kita (pergi) jauh.

“Kadangkala kita kena berbelanja juga untuk skuad kebangsaan, kita pun lihat beberapa (jurulatih) tunjukkan minat untuk membantu pasukan negara jadi kita perlu bersedia.

“Mahu atau tak mahu, kita kena juga berbelanja untuk mendapatkan keputusan yang baik,” kata Yusoff.

Ketika ini, nama bekas pengendali Vietnam, Park Hang Seo berada dalam radar FAM namun perlu bersedia membayar gaji lebih tinggi daripada Kim Pan Gon jika badan induk itu mahu khidmat jurulatih tersebut.

Difahamkan gaji Park Hang Seo ketika bersama Vietnam adalah sekitar RM218,000 sebulan.

Selain menerima gaji yang tinggi, Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) turut memberi keistimewaan lain kepada Park Hang-seo sepanjang beliau bergelar sebagai ketua jurulatih.

Bagaimanapun, FAM belum menghubungi Park Hang Seo dan mahu memberi peluang kepada Pau Marti Vicente sehingga saingan Piala AFF Mitsubishi Electric.

“Kita belum bergerak ke arah itu dan kita tengok apa faktor yang sesuai untuk kita. Kita tak boleh cakap yang kita nak (Hang Seo) sedangkan Pau Marti ada dalam pasukan ketika ini.

“Jadi kita tunggu sehingga hujung tahun ini sebelum mempertimbangkan apa pilihan terbaik. Pau Marti mendapat peluangnya (kendalikan skuad kebangsaan) jadi gunakan peluang itu sebaiknya,” katanya.