Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebentar tadi menegaskan bahawa pada ketika ini masih belum ada sebarang perkembangan baharu berhubung hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Seperti dilaporkan sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah diarahkan untuk membayar denda sebanyak CHF 350,000 kerana kerana melanggar artikel 22 Kod Tatatertib (FDC) mengenai pemalsuan dokumen pendaftaran pemain warisan.
Baca Juga:
- MFL Umum Penggantungan Tiga Pemain Warisan JDT Susulan Keputusan FIFA

- FAM Sahkan Kesilapan Teknikal Oleh Pegawai Pentadbiran Punca Masalah Pendaftaran 7 Pemain Warisan

- ‘Skandal Pemain Warisan’ – Media Indonesia Dakwa Malaysia Akan Dihukum FIFA

Manakala, tujuh pemain warisan negara telah diarah membayar denda sebanyak CHF 2,000 kepada FIFA dan dikenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh pemberitahuan keputusan itu.
FAM Keluarkan Kenyataan Baharu
Dalam kenyataan ringkas yang dikeluarkan, badan induk bola sepak negara itu menjelaskan bahawa mereka masih menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripada pihak FIFA.
“FAM masih menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripada pihak FIFA. Proses rayuan hanya akan dimulakan sebaik sahaja dokumen penuh keputusan penghakiman tersebut diterima.”
Tambah FAM lagi, sebarang kenyataan atau maklumat lanjut mengenai isu ini hanya akan dikeluarkan selepas proses rayuan selesai sepenuhnya.
Buat masa ini, peminat bola sepak tanah air hanya mampu menunggu perkembangan rasmi seterusnya daripada badan induk bola sepak negara itu selepas dokumen penuh daripada FIFA diterima yang bakal menentukan arah perjalanan isu ini serta impaknya terhadap bola sepak Malaysia.