Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebentar tadi mengumumkan bahawa rayuan Selangor FC berhubung hukuman yang diterima susulan tindakan orang kenamaan (VVIP) dan penyokong kelab tersebut ketika aksi Piala FA telah ditolak.

Perkembangan terkini itu disahkan FAM menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan badan induk bola sepak tanah air tersebut.

Rayuan Selangor FC Ditolak

“Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mesyuarat khas kali pertama bagi penggal 2025-2029 pada Selasa, 25 November 2025 telah mencapai keputusan seperti berikut:”

“1. Rayuan Selangor FC terhadap hukuman yang dikenakan selepas didapati bersalah berhubung kes membabitkan kelakukan penyokong mereka dan kegagalan untuk mematuhi obligasi penganjuran pada perlawanan Suku Akhir 2 Piala FA 2025-2026, Selangor FC lwn Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Rabu, 29 Oktober 2025, telah ditolak.”

“2. Hukuman bermain tanpa penonton (beraksi di stadium kosong) untuk dua perlawanan seterusnya di gelanggang sendiri bagi pertandingan Piala FA, iaitu perlawanan Separuh Akhir 2 Piala FA 2025-2026, Selangor lwn Sabah di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Ahad, 30 November 2025 dan perlawanan pertama Selangor di gelanggang sendiri bagi pertandingan Piala FA pada musim berikutnya, serta denda sebanyak RM100,000 yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM pada Jumaat, 14 November 2025 adalah dikekalkan.”

 

Sumber