Patrick Kluivert tidak menunggu lama untuk mengumumkan barisan kejurulatihan yang akan membantu beliau dalam mengendalikan skuad kebangsaan Indonesia.

Menurut sumber laporan Goal Indonesia, legenda berusia 48 tahun itu telah menyenaraikan bekas rakan sepasukannya ketika dalam skuad kebangsaan Belanda iaitu Denny Landzaat sebagai pembantu.

Selain Landzaat, Kluivert turut memberikan kepercayaan kepada Alex Pastoor untuk membantunya dalam misi membawa Indonesia ke Piala Dunia 2026.

Fakta menarik yang boleh diperkatakan mengenai pelantikan Landzaat adalah mengenai kemampuannya untuk berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Indonesia.

Bahasa Indonesia cukup sinonim dengan bekas pemain tengah itu kerana ibunya berasal dari Kepulauan Maluku.

Jadi kefasihan Lanzdaat dalam bahasa Indonesia serta sudah mengetahui selok-belok budaya negara tersebut sedikit sebanyak mampu untuk lebih memudahkan tugasan Kluivert.

Malah, Kluivert sendiri mengakui bahawa Landzaat merupakan seorang rakan dan pembantu yang cukup setia.

Landzaat nyata bukan asing dalam kancah bola sepak antarabangsa apabila beliau pernah merasai pengalaman beraksi dalam saingan Piala Dunia 2006 di Jerman.

Malah, beliau juga merupakan antara sandaran utama Wigan Athletic ketika masih bersaingan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 2006 hingga 2008 sebelum berhijrah ke Feyenoord.

Selepas bersara pada 2014, Landzaat terjun ke bidang kejurulatihan dengan bertindak selaku penolong jurulatih di skuad simpanan AZ Alkmaar, Feyenoord, Al-Ittihad, Willem II, Al-Taawon, Lech Poznan dan Ferencvaros.

Barisan kejurulatihan baharu Indonesia akan menghadapi tugasan pertama pada 20 Mac nanti dimana skuad Garuda itu akan beraksi di tempat lawan untuk menghadapi Australia pada aksi ketujuh pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.