Penyerang kelahiran Belanda, Ferdy Druijf memberi bayangan beliau bakal beraksi bersama skuad Harimau Malaya dalam masa terdekat.

Menerusi laman media sosial Instagram miliknya, Ferdy memuat naik gambar dengan hantaran yang bertuliskan ‘tidak lama lagi’ sekaligus mencetus persoalan di kalangan peminat.

Taobao
HYPE
Raya Extra Meriah! 5 Dekorasi DIY Dari Taobao Wajib Ada Untuk Rumah Anda!
Baca lagi →

Baca Juga:

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad kebangsaan iaitu Rob Friend memberitahu bahawa proses untuk mendapatkan pasport bagi pemain warisan dari Belanda sudah di peringkat akhir dan pemain yang dibawa masuk akan diperkenalkan dalam masa terdekat.

“Kami berharap ingin mengambil langkah yang cemerlang apabila Kelayakan Piala Asia 2027 bermula pada Mac, dan dengan mempunyai pilihan yang lebih luas dengan pemain-pemain warisan ini akan meningkatkan peluang bagi aspirasi kami untuk membawa Harimau Malaya ke peringkat seterusnya.

“Walau bagaimanapun, kami tetap sama-sama komited untuk mencapai hasil dalam pembangunan pemain domestik di semua peringkat bola sepak di Malaysia.

“Walaupun naturalisasi adalah antara komponen penting dalam strategi kami, kami memahami kepentingan memupuk bakat tempatan untuk memastikan kejayaan yang mampan untuk pasukan kebangsaan.

“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan skuad seimbang dan berdaya saing yang mewakili kebanggaan dan semangat bola sepak Malaysia,” kata Friend.

Ferdy Druijf sebelum ini menyatakan beliau sedang siapkan dokumen lengkap untuk membuktikan beliau memiliki darah keturunan Malaysia daripada sebelah neneknya.

Druijf mengakui ibunya dilahirkan di Malaysia namun tidak menyebut secara jelas dari negeri mana ibunya berasal.

Ferdy Druijf kini beraksi bersama kelab Eredivisie Belanda, PEC Zwolle secara pinjaman dari kelab Austria, SK Rapid.

Calon pemain warisan ini merupakan produk akademi AZ Alkmaar dan kemudian beraksi bersama beberapa kelab di Belanda dan Belgium seperti NEC Nijmegen dan KV Mechelen sebelum menyertai SK Rapid.

Pemain berketinggian 190 sentimeter itu mempunyai nilai pasaran sebesar €1 Juta atau sekitar RM5.3 Juta dan memiliki rekod jaringan memukau dengan 112 gol dalam 266 penampilan sepanjang kariernya menurut statistik Transfermarkt.

Beliau juga memiliki pengalaman luas di pentas bola sepak antarabangsa bersama skuad Belanda B-20, B-18 dan B-17.