Menjelang sepak mula Piala Dunia 2026, satu kontroversi besar tercetus melibatkan Haiti apabila FIFA dilaporkan mengarahkan pasukan itu menukar reka bentuk jersi rasmi mereka kerana dianggap mengandungi unsur “mesej politik”.

Lakaran peristiwa sejarah Haiti

Menurut laporan The Athletic, jersi asal Haiti yang direka oleh jenama Saeta pada awalnya menampilkan elemen visual yang meraikan sejarah negara tersebut — termasuk rujukan kepada Battle of Vertières (1803), pertempuran penting yang membawa kepada kemerdekaan Haiti.

Terdapat lakaran seorang pejuang memegang bendera didakwa bendera Poland pada jersi mereka. Sebenarnya ada kisah menarik kenapa orang Haiti menganggap orang Poland sebagai rakan baik mereka.

Pada tahun 1802, Napoleon menghantar kira-kira 5,000 tentera Poland ke Haiti untuk menindas pemberontakan hamba di sana.

Namun ramai tentera Poland itu enggan menurut arahan, sebaliknya memilih untuk berjuang bersama rakyat Haiti yang berjuang mempertahankan kebebasan mereka dan menghalang pengembalian perhambaan.

Selepas Haiti akhirnya memperoleh kemerdekaan pada tahun 1804, pemimpin pertamanya, Jean-Jacques Dessalines, memberikan kewarganegaraan kepada orang Poland dan menghormati mereka dengan merujuk mereka sebagai “White Negroes of Europe!”

Perlembagaan 1805 juga secara sah mengklasifikasikan mereka sebagai warga kulit hitam!

Lebih 200 tahun kemudian, hubungan antara kedua-dua negara masih kekal kuat. Ini sepatutnya menjadi satu penghormatan yang hebat.

Itu bendera Haiti

Tetapi Haiti sebenarnya menafikan bahawa bendera itu adalah bendera Poland. Sebaliknya ia adalah bendera Haiti yang pertama pada satu ketika dahulu.

Reka bentuk asal jersi itu bukan sekadar hiasan. Ia dianggap sebagai penghormatan kepada identiti Haiti, negara pertama di Amerika yang lahir daripada revolusi hamba dan simbol perjuangan anti-penjajahan.

FA Haiti berpendapat FIFA dan ramai pihak sudah tersalah tafsir. Namun FIFA tetap meminta baju tersebut diubah rekaannya kerana menimbulkan kontroversi dari segi politik.

Menurut FIFA lagi, garis pemisah antara “sejarah” dan “mesej politik” dilihat terlalu kabur. Elemen seperti ilustrasi pertempuran dan penggunaan warna serta simbol tertentu akhirnya menjadi punca utama perubahan drastik terhadap jersi tersebut.

FIFA kemudiannya meminta perubahan dibuat sebelum kejohanan bermula, dan Saeta bersama Persatuan Bola Sepak Haiti akur terhadap keputusan itu demi memastikan kelayakan pasukan beraksi di pentas dunia.

Keputusan ini mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat bola sepak dan pemerhati sukan. Ada yang melihat tindakan FIFA sebagai terlalu ketat dan tidak sensitif terhadap konteks sejarah negara kecil seperti Haiti.

Ada yang menyindir: “Piala Dunia di AS itu sendiri sarat dengan politik, lihat dasar AS melayan negara bertanding. Jadi kenapa Haiti pula dihalang kerana ada unsur politik?”