Drama penuh kontroversi tercetus dalam aksi Piala Dunia apabila Croatia hampir mencipta detik kebangkitan lewat permainan menentang Portugal, sebelum jaringan penyamaan mereka dibatalkan selepas semakan VAR yang disokong teknologi dalam bola rasmi kejohanan, Adidas Trionda.

Portugal terlebih dahulu berada di hadapan 2-1 hasil tandukan Gonçalo Ramos pada minit keempat masa kecederaan, namun Croatia membalas dengan gol yang kelihatan dramatik apabila Josko Gvardiol menyamakan kedudukan beberapa minit kemudian.

Gerakan bermula apabila Ivan Perišić menghantar bola ke dalam kotak penalti, sebelum berlaku situasi kelam-kabut yang menyaksikan bola terkena Renato Veiga dan jatuh ke arah Mario Pasalic.

Sentuhan Pasalic kemudiannya mencipta peluang kepada Gvardiol untuk menyempurnakan jaringan dari jarak dekat.

Pada awalnya, gol tersebut disahkan pengadil di atas padang, namun keadaan berubah selepas VAR melakukan semakan semula kerana timbul keraguan sama ada Igor Matanovic menyentuh bola ketika situasi awal bola tinggi di dalam kotak penalti.

Pengadil Espen Eskas kemudiannya dipanggil ke monitor VAR untuk menyemak insiden tersebut sebelum keputusan diubah.

FIFA kemudian mengesahkan bahawa keputusan membatalkan gol tersebut adalah tepat berdasarkan data daripada teknologi dalam bola perlawanan.

Dalam kenyataan rasmi di platform X, FIFA menjelaskan:

“Menurut data yang disediakan oleh Teknologi Bola Bersambung (Connected Ball Technology) yang dipasang di dalam Adidas Trionda, bola rasmi Piala Dunia FIFA, telah dibuktikan bahawa terdapat sentuhan oleh pemain Croatia, #20 Igor Matanovic, dalam fasa pembinaan serangan sebelum gol menentang Portugal. Ini membolehkan pengadil membuat keputusan ofsaid dengan tepat dan membatalkan gol tersebut.”

FIFA menegaskan bahawa teknologi menggunakan sensor IMU (Inertial Measurement Unit) yang dipasang dalam bola Trionda bagi mengesan setiap sentuhan mikro yang berlaku dalam permainan telah menghantar data secara langsung.

Data itu kemudian dipaparkan kepada penonton dalam bentuk grafik “heartbeat” yang menunjukkan detik tepat bola disentuh.

Dengan pengesahan itu, Mario Pašalic didapati berada dalam posisi ofsaid sebelum terlibat dalam gerakan gol, sekali gus menyebabkan jaringan Gvardiol tidak dibenarkan kekal.

FIFA turut menambah: “Sensor IMU yang dipasang di dalam bola Trionda mampu mengesan sebarang sentuhan walaupun sangat kecil, yang dipaparkan kepada penonton melalui siaran sebagai grafik ‘degupan jantung’, serta memberikan tahap data yang belum pernah ada sebelum ini kepada pegawai perlawanan untuk membuat keputusan yang pantas dan tepat.”

Keputusan itu akhirnya menamatkan harapan Croatia untuk mengikat perlawanan dalam detik terakhir, sementara Portugal mara dengan kemenangan penuh dramatik.

Insiden ini sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai penggunaan teknologi dalam bola sepak moden — di mana setiap sentuhan halus kini boleh menjadi penentu nasib di pentas terbesar dunia.