Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah meluluskan pelaksanaan perubahan peraturan yang signifikan dan bakal memberi kesan kepada semua urusan perpindahan pemain bola sepak profesional.
Walaupun Piala Dunia 2026 sudah membuka tirainya, badan induk bola sepak dunia itu terus membuat keputusan penting melibatkan aspek lain dalam sukan berkenaan.
Dengan jendela perpindahan dijadual dibuka pada 15 Jun, kelab-kelab juga sedang giat merancang pemain yang akan dilepaskan dan dibawa masuk bagi menghadapi musim baharu.
Beberapa perpindahan sudah pun dimuktamadkan, termasuk Anthony Gordon yang dilaporkan bersetuju menyertai Barcelona dalam urus niaga bernilai £69.2 juta.
Sementara itu pemain tengah Brazil, Ederson turut dilaporkan bersetuju untuk menyertai Manchester United menerusi perpindahan bernilai £35 juta.
Sejak kebelakangan ini beberapa pemain yang tidak lagi berada dalam perancangan pasukan terpaksa melalui pengalaman sukar apabila disisihkan sebagai anggota ‘bomb squad’.
Bomb squad merujuk kepada kumpulan pemain yang diketepikan daripada skuad utama dan diasingkan daripada sesi latihan serta aktiviti pasukan sementara menunggu perpindahan atau mencari kelab baharu.
Kini, persetujuan yang dicapai antara FIFA dan kesatuan pemain antarabangsa, FIFPRO berpotensi menamatkan situasi seumpama itu.
FIFA Wajibkan Klausa Pelepasan
FIFA mengumumkan bahawa klausa pelepasan (buyout clause) akan diwajibkan dalam semua kontrak pemain profesional, meskipun mekanisme tersebut sudah lama digunakan secara meluas oleh kelab-kelab La Liga.
Selain itu, pemain juga bakal menerima sebahagian daripada yuran perpindahan mereka, sesuatu yang sudah diamalkan di Sepanyol bagi pemain yang memperoleh pendapatan tahunan di bawah €150,000 (£130,000). Golongan pemain ini akan menerima lima peratus daripada nilai tetap yuran perpindahan mereka.
Langkah tersebut membolehkan pemain berpindah dengan lebih bebas sekali gus menghalang kelab daripada memaksa mereka berlatih tanpa peluang beraksi atau menahan mereka daripada berpindah dengan menetapkan tanda harga yang terlalu tinggi.
Sekiranya sesebuah kelab ‘mengasingkan pemain secara tidak wajar daripada latihan bersama pasukan’, pemain berkenaan berhak menggunakan alasan ‘just sporting cause’ dan boleh meninggalkan kelab tersebut tanpa sebarang yuran perpindahan, selain masih berpotensi menerima pampasan berdasarkan kontrak sedia ada.
Menurut sumber laporan Sport Bible, perubahan diilhamkan FIFA tersebut akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2027, dengan perjanjian berkenaan berlangsung sehingga 31 Disember 2031.