Dengan Piala Dunia 2026 kini sudah bermula, beberapa pemain berpotensi untuk memecahkan rekod lama pada kejohanan musim panas yang berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico itu.

Awal pagi semalam, Afrika Selatan mencipta rekod Piala Dunia yang tidak pernah berlaku sejak 20 tahun lalu apabila tewas 0-2 kepada Mexico.

Skuad bimbingan Hugo Broos itu menjadi pasukan pertama menerima dua kad merah dalam satu perlawanan Piala Dunia sejak 2006 selepas pengadil, Wilton Pereira Sampaio melayangkan kad merah kepada Yaya Sithole dan Themba Zwane.

Dengan 104 perlawanan dijadualkan dalam edisi 48 pasukan kali ini, rekod 172 gol yang menjadi jumlah jaringan terbanyak dalam satu kejohanan Piala Dunia dijangka mampu diatasi dengan mudah sepanjang beberapa minggu mendatang.

Selain itu terdapat beberapa rekod yang berkemungkinan dapat dipecahkan oleh pemain dalam edisi kali ini. Antaranya ialah:

Piala Dunia 2026

1) Penjaring Terbanyak Sepanjang Zaman

Rekod 16 gol milik Miroslav Klose sebagai penjaring terbanyak sepanjang sejarah Piala Dunia kini dilihat berdepan ancaman.

Hal ini kerana Kylian Mbappe dan Lionel Messi masing-masing hanya dibezakan empat dan tiga gol daripada pencapaian legenda Jerman itu.

2) Rekod Jaringan Dalam Edisi Piala Dunia Terbanyak

Jika Cristiano Ronaldo berjaya menemui sentuhan jaringan, sesuatu yang dilihat berkemungkinan besar berlaku, beliau akan terus melebarkan rekod sebagai pemain yang menjaringkan gol dalam jumlah edisi Piala Dunia terbanyak.

Setakat ini, Ronaldo telah mencetak gol dalam kesemua lima Piala Dunia yang disertainya iaitu pada edisi 2006, 2010, 2014, 2018 dan 2022.

3) Pemain Dengan Kemenangan Terbanyak Dalam Sejarah Piala Dunia

Dari segi pemain yang meraih kemenangan terbanyak di pentas Piala Dunia, rekod semasa dipegang oleh Miroslav Klose dengan 17 kemenangan.

Namun, Lionel Messi hanya dibezakan satu kemenangan apabila telah mengumpul 16 kemenangan setakat ini.

4) Penjaring Tertua Dalam Piala Dunia

Ketika ini, rekod penjaring tertua dalam sejarah Piala Dunia dipegang oleh Pepe yang menjaringkan gol pada usia 39 tahun dan 283 hari. Namun, rekod itu dijangka berdepan ancaman pada Piala Dunia 2026.

Antara calon yang berpotensi memecahkan rekod tersebut ialah Cristiano Ronaldo, yang menyambut ulang tahun ke-41 tahun ini, selain Edin Dzeko dan Luka Modric.

Dzeko bagaimanapun terlepas peluang pada aksi pertama bertemu Kanada awal pagi tadi kerana langsung tidak diturunkan oleh Sergej Barbarez.

5) Pemain Berusia Lebih 40 Tahun Dalam Satu Edisi Piala Dunia

Bercakap mengenai faktor usia, rekod jumlah pemain berusia lebih 40 tahun dalam satu edisi Piala Dunia ketika ini hanyalah seorang, namun rekod itu dijangka akan dipecahkan pada Piala Dunia 2026.

Seramai lapan pemain berusia melebihi 40 tahun disenaraikan dalam kejohanan kali ini termasuk Cristiano Ronaldo, Edin Dzeko, Luka Modric, Guillermo Ochoa, Fernando Muslera, Manuel Neuer serta penjaga gol Cape Verde, Vozinha.

6) Pemain Pertama Memenangi Kasut Emas Sebanyak Dua Kali

Tiada pemain dalam sejarah Piala Dunia pernah memenangi anugerah Kasut Emas sebanyak dua kali. Namun, rekod itu berpotensi berubah pada Piala Dunia 2026.

Pemenang Kasut Emas sebelum ini iaitu Kylian Mbappe, James Rodriguez dan Harry Kane masing-masing mempunyai peluang untuk muncul sebagai pemain pertama merangkul anugerah tersebut buat kali kedua.

7) Jaringan Dalam Tiga Final Piala Dunia Berbeza

Kylian Mbappe sememangnya dikenali sebagai pemain yang sering menyerlah pada perlawanan berprofil tinggi dan pada Piala Dunia 2026, penyerang Perancis itu berpeluang mencipta sejarah.

Jika berjaya menjaringkan gol di pentas final sekali lagi, Kylian Mbappe akan muncul sebagai pemain pertama dalam sejarah yang menjaringkan gol dalam tiga perlawanan akhir Piala Dunia berbeza, selepas turut melakukannya pada edisi 2018 dan 2022.

8) Penantian Terpanjang Antara Dua Gelaran Piala Dunia

Sekiranya England atau Uruguay muncul juara Piala Dunia 2026, kedua-dua pasukan itu akan mengatasi rekod milik Itali iaitu tempoh penantian paling lama antara dua kejuaraan Piala Dunia, selama 44 tahun.

England kali terakhir menjulang trofi Piala Dunia pada 1966, manakala Uruguay meraih gelaran kedua mereka pada 1950.