Bekas penyerang Liverpool, Robbie Fowler berpendapat The Reds wajar mempertimbangkan Christian Pulisic sebagai pengganti Mohamed Salah pada jendela perpindahan musim panas ini.

Selepas sembilan musim bersama Liverpool, Salah bergelar ejen bebas pada musim panas ini setelah menjaringkan 257 gol dan mencatatkan 120 bantuan gol dalam 442 penampilan.

Pemain sayap itu memenangi dua gelaran English Premier League (EPL) dan UEFA Champions League (UCL) sepanjang tempohnya di Merseyside, selain beberapa trofi lain sekali gus meninggalkan Liverpool dengan tugas sukar untuk mencari penggantinya.

Pulisic Jadi Pilihan Fowler

Keadaan itu menjurus kepada pendapat Fowler yang melihat Pulisic mampu untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Salah.

Pulisic mempunyai pengalaman beraksi dalam kempen EPL selepas mewakili Chelsea selama empat musim. Sepanjang tempoh itu, beliau menjaringkan 20 gol dan mencatatkan sembilan bantuan gol dalam 98 penampilan di liga utama England tersebut.

Pemain sayap dari Amerika Syarikat itu juga memenangi UCL bersama Chelsea pada tahun 2021 sebelum menyertai AC Milan pada tahun 2023.

“Terdapat banyak khabar angin mengenai siapa yang akan menyertai Liverpool, tetapi satu nama yang saya langsung tidak nampak dikaitkan ialah Pulisic,” ujar Fowler menurut ciapan di laman X peribadi miliknya.

“Usianya masih sesuai, pernah beraksi di English Premier League, seorang pemain yang mengujakan.”

“Saya akan mengambilnya. Mungkin dia boleh mengikuti laluan yang hampir sama seperti Salah. Apa pendapat anda?”

Pulisic telah membuat 134 penampilan bersama AC Milan dan terlibat secara langsung dalam 66 gol di semua pertandingan, dengan menjaringkan 42 gol serta mencipta 24 bantuan gol.

Sejak tiba di Itali, hanya Lautaro Martínez (65) dan Marcus Thuram (57) yang mencatatkan penglibatan gol lebih banyak dalam Serie A berbanding Pulisic (52).