Jodoh Mohamed Salah dan Liverpool sah akan berakhir pada penghujung musim 2025/26.
Perpisahan itu bakal berlaku selepas Salah dan The Reds telah mencapai kata sepakat sekali gus menamatkan karier gemilang pemain serangan itu selama sembilan tahun di Anfield.
Perkembangan terkini yang mungkin mengecewakan segelintir penyokong Liverpool itu disahkan menerusi kenyataan rasmi dikeluarkan laman sesawang kelab tersebut, sebentar tadi.
Mohamed Salah, Liverpool Berpisah
“Mohamed Salah menyatakan hasratnya untuk membuat pengumuman ini kepada para penyokong seawal mungkin bagi memastikan ketelusan mengenai masa depannya, sebagai tanda hormat dan penghargaan terhadap mereka.”
“Ditandatangani dari AS Roma pada musim panas 2017, pemain bernombor 11 itu telah mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang pemain terhebat dalam sejarah Liverpool FC, dengan membantu kelab meraih dua kejuaraan Premier League, UEFA Champions League, FIFA Club World Cup, UEFA Super Cup, FA Cup dan dua EFL Cup, selain satu FA Community Shield.”
“Jumlah 255 gol dalam 435 penampilan setakat ini meletakkan Mohamed Salah di tangga ketiga dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liverpool FC, selain memenangi anugerah Kasut Emas Premier League sebanyak empat kali serta pelbagai pengiktirafan individu lain.”
“Dengan musim ini masih berbaki banyak perlawanan, Salah kekal fokus untuk membantu Liverpool mencapai penamat terbaik yang mungkin.”
“Justeru, masa untuk benar-benar meraikan legasi dan pencapaiannya akan tiba kemudian pada tahun ini apabila beliau mengucapkan selamat tinggal kepada Anfield.”
Musim 2025/26 menyaksikan pergeseran berlaku antara Salah dan pengendali pasukan, Arne Slot hingga menyaksikan pemain kelahiran Mesir itu beberapa kali disisihkan.
“Saya duduk di bangku simpanan selama 90 minit! Kali ketiga di bangku simpanan, dan saya rasa ini adalah kali pertama dalam karier saya. Saya sangat, sangat kecewa sebenarnya.”
“Saya telah lakukan begitu banyak untuk kelab ini selama bertahun-tahun dan terutamanya musim lalu.”
“Sekarang saya duduk di bangku simpanan dan saya tak tahu kenapa. Nampaknya kelab seperti menghalau saya berambus dari kelab ini. Itulah apa yang saya rasa,” luahnya sebaik sahaja berakhirnya perlawanan bertemu Leeds United pada penghujung Disember 2025.