Setakat ini tiada pasukan di Piala Dunia 2026  yang berjaya menemui formula untuk menyekat ketajaman Erling Haaland yang dilihat hampir mustahil dihentikan.

Haaland yang sudah meledakkan tujuh gol dalam empat perlawanan bersama Norway, termasuk dua gol pada babak kedua ketika membantu pasukannya menewaskan Brazil pada pusingan 16.

Ia menjadi bulan yang cukup bermakna buat Norway yang kembali beraksi di pentas Piala Dunia buat kali pertama sejak 1998, dengan penyerang sensasi mereka itu terus menjadi watak utama apabila sentiasa menghadirkan jaringan pada setiap perlawanan.

Jadi, persoalannya kini, bagaimana England mampu menyekat antara pemain paling berbisa dalam bola sepak dunia ketika ini pada aksi suku akhir jam 5.00 pagi esok?

Friedel Kongsi Formula Hentikan Haaland

Menurut bekas penjaga gol Blackburn Rovers dan skuad kebangsaan Amerika Syarikat, Brad Friedel jawapannya bukanlah dengan memberi tumpuan sepenuhnya untuk menghentikan penyerang berbisa itu semata-mata.

Friedel percaya kunci utama buat England adalah memastikan Martin Odegaard tidak diberi ruang untuk menguasai permainan ketika Three Lions berusaha merencatkan ancaman serangan Norway.

“Anda tidak boleh hanya menumpukan usaha untuk menghentikan Erling Haaland kerana dia sebenarnya tidak banyak menyentuh bola dalam setiap perlawanan.”

“Apa yang lebih penting ialah mengehadkan hantaran kepadanya,” kata Friedel menurut sumber laporan SPORTBible.

“Jika anda membiarkan pemain sayap dan bek sisi Norway bebas melakukan hantaran lintang, pertahanan terbaik dunia sekalipun akan berdepan kesukaran untuk menghalang Haaland melompat dan mendapatkan bola di hadapan pemain yang mengawalnya.”

“Anda perlu menghalang bola daripada sampai kepada Haaland. Walaupun begitu, Haaland masih mampu mencipta peluang daripada situasi yang nampak mustahil kerana itulah keistimewaannya.”

“Martin Odegaard ialah pemain Norway yang paling banyak menyentuh bola, jadi anda perlu mengehadkan penglibatannya.”

“Namun, Norway bukan hanya bergantung kepada seorang atau dua pemain. Mereka juga memiliki Antonio Nusa, Oscar Bobb dan ramai lagi pemain yang mampu memberi ancaman.”

Sumber