Drama besar tercipta di New Jersey apabila Brazil tersingkir mengejut 1-2 kepada Norway dalam aksi Round of 16 yang penuh naratif sejarah, emosi dan kontroversi.

Brazil turun sebagai pilihan, menguasai banyak fasa permainan, tetapi seperti yang sering berlaku dalam bola sepak di peringkat kalah mati dominasi tanpa ketajaman akhirnya dihukum.

Norway pula datang dengan satu misi jelas: tunggu momen, dan habiskan.

Erling Haaland sekali lagi menjadi pemusnah. Penyerang Norway itu membuka akaun pada minit ke-79 dengan tandukan klinikal yang membelah benteng Brazil.

Ketika Brazil mula hilang keseimbangan, Haaland menambah gol kedua pada minit ke-90 dengan penyudah padu yang menggegar gawang Alisson.

Amaran kepada mana mana pasukan yang akan berdepan Norway bahawa, mereka mungkin pasukan yang banyak menyerang, namunm mereka ada mesin gol bernama Haaland.

Pemain gantian, Neymar sempat menghidupkan harapan lewat permainan apabila menjaringkan penalti pada masa kecederaan. Tetapi ia hanya sekadar “late consolation” dalam perlawanan yang sudah dimenangi Norway lebih awal.

Dan seperti sejarah 1998 yang kembali menghantui Selecao, Norway sekali lagi menjadi pasukan Eropah yang memadamkan mimpi Brazil di pentas dunia.

Haaland melangkah ke suku akhir sebagai  salah seorang wajah utama kejohanan kali ini bersama Norway.

Brazil pula pulang dengan soalan lama yang masih belum terjawab: bagaimana pasukan sehebat Brazil dengan 5 kejuaraan dunia masih boleh tersingkir dengan cara begini?