Pemilik Liverpool, Fenway Sports Group (FSG) percaya bahawa Arne Slot akan terus mengetuai kelab pada musim depan walaupun mengalami satu lagi kekalahan pada malam Rabu, serta pengakuan pengurus itu bahawa pasukan kini berada dalam mod bertahan.
Kekalahan 2-0 kepada Paris Saint-Germain (PSG) meletakkan Liverpool di ambang penyingkiran UEFA Champions League menjelang aksi Selasa, malah penyokong yang hadir ke stadium juga mula hilang sabar terhadap Slot.
Namun, jangkaan bahawa Slot akan dipecat pada penghujung musim atau lebih awal dilihat bercanggah dengan sentimen dalam kalangan Fenway Sports Group di Boston serta pihak eksekutif berpangkalan di Britain seperti Michael Edwards dan Richard Hughes.
Liverpool Masih Mempercayai Arne Slot
Menurut sumber laporan The Telegraph, konsensus semasa adalah Slot layak untuk memulakan musim depan dan peralihan daripada Jurgen Klopp pada musim panas 2024 bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang digambarkan oleh kejayaan menjuarai Premier League musim lalu.
Malah dikatakan pengendali kelahiran Belanda itu diberikan kebebasan untuk memperkuatkan pasukannya dengan membawa masuk pemain baharu.
Tekanan ke atas Slot semakin meningkat dengan adanya pilihan seperti Xabi Alonso dan Steven Gerrard, dua legenda Liverpool yang kini telah memenangi kejuaraan liga sebagai pengurus bersama Bayer Leverkusen dan Rangers.
Ketika ini, Fenway Sports Group melihat terdapat faktor yang boleh meringankan penilaian terhadap prestasi pasukan, antaranya kematian Diogo Jota yang memberi kesan kepada rakan sepasukan pada awal musim.
Selain itu, terdapat juga penurunan prestasi pemain-pemain utama era ini, terutamanya penjaring terbanyak musim lalu, Mohamed Salah.
Kapten pasukan, Virgil van Dijk turut mengakui pada malam Rabu bahawa ini merupakan penghujung satu era bagi ramai pemain, dengan Andy Robertson turut akan meninggalkan kelab pada musim panas ini apabila kontraknya tamat.