Malaysia memulakan kempen Kejuaraan Futsal ASEAN 2024 dengan nota kemenangan selepas membelasah Brunei 11-0 pada aksi yang berlangsung di Terminal 21, Nakhon Ratchasima sebentar tadi.

Anak buah Rakphol Sainetngam jelas berada di kelas tersendiri dengan penguasaan penuh permainan sejak wisel permulaan ditiup pengadil dari Korea Selatan, Moon Dae Sung.

Baca Juga:

Tekanan hebat diberikan membolehkan Malaysia membuka tirai jaringan menerusi Syed Aizad Daniel Syed Nasir pada minit keempat.

Berpunca daripada sepakan penjuru yang diambil Firdaus Ambiah, Syed Aizad melakukan percubaan kaki kiri dari luar kawasan D untuk menewaskan penjaga gol, Abdul Azim Abdul Rahman.

Tiga minit kemudian, Ridzwan Bakri menjadikan kedudukan 2-0 selepas beliau mudah menolak masuk bola ketika Abdul Azim gagal menangkap kemas percubaan awal Danial Dain.

Malaysia Brunei

Pemain muda, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan melakukan percubaan jarak jauh untuk melebarkan lagi kedudukan pada minit ke-11.

Memasuki babak kedua, pemain negara terus bernafsu memburu jaringan dengan menambah lapan lagi gol.

Awalluddin Mat Nawi menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-21 menerusi sepakan penalti selepas Ridzwan dikasari dalam kawasan D.

Baki enam lagi gol Malaysia disumbangkan oleh Syahir Iqbal pada minit ke-22 dan ke-36, Syed Aizad (minit ke-25), Abu Haniffa Hassan (minit ke-26), Faris Johan berselang seminit kemudian serta minit ke-40 dan Ridzwan (minit ke-33).

Selepas membelasah Brunei, Malaysia akan berdepan cabaran lebih sukar pada petang esok apabila dijadualkan bertemu Vietnam.