Peluang buat Malaysia untuk ke separuh akhir Kejuaraan Futsal ASEAN 2024 sudah pun tertutup rapat selepas tewas kepada Thailand 1-3 pada aksi ketiga kumpulan A yang berlangsung di Terminal 21, Nakhon Ratchasima sebentar tadi.

Skrip yang sama seperti pertemuan menentang Vietnam berlaku pada perlawanan ini kerana penyudah tumpul menggagalkan usaha skuad negara walaupun mencipta begitu banyak peluang ke kubu lawan.

Penjaga gol Thailand, Prasansat Jaroenpong memperagakan aksi terbaik dalam menafikan percubaan demi percubaan dijelmakan pemain Malaysia terutamanya menerusi Syahir Iqbal Khan Akbar Khan dan Faris Johan.

Aksi menarik dengan intensiti tinggi serta corak permainan pantas dipamerkan kedua-dua pasukan nyata menghiburkan lebih 2,000 penonton yang membanjiri Terminal 21.

Tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-11 apabila percubaan ‘placing’ daripada Attiphong Munphlai ketika situasi sepakan ke dalam berjaya menewaskan penjaga gol, Syawal Sabaruddin.

Kesilapan Ridzwan Bakri pada minit ke-19 dihukum Thanawat Koedbangrachan yang mudah menolak masuk bola untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Anak buah Rakphol Sainetngam memperkemaskan aksi pada babak kedua dan usaha mereka untuk merapatkan defisit jaringan membuahkan hasil di minit ke-31 menerusi tandukan Abu Haniffa Hassan.

Kegembiraan itu hanya bertahan tiga minit selepas Therdsak Charoenphong melepaskan rembatan rendah yang gagal diselamatkan penjaga gol gantian, Zainulzahin Sinuan.

Kedudukan 1-3 memihak Thailand itu kekal hingga tamat permainan untuk mengesahkan skuad negara tersingkir awal pada edisi kali ini.

Aksi terakhir buat skuad negara Kejuaraan Futsal ASEAN 2024 adalah bertemu Timor-Leste, esok.