Malaysia berdepan laluan berliku untuk mara ke separuh akhir Kejuaraan Futsal ASEAN 2024 selepas tewas 0-2 kepada Vietnam pada aksi kedua yang berlangsung di Terminal 21, Nakhon Ratchasima sebentar tadi.

Berdepan lawan yang berpengalaman beraksi di pentas Piala Dunia Futsal bagaimanapun tidak menggentarkan anak buah Rakphol Sainetngam.

Baca Juga:

Ia jelas dibuktikan dengan corak permainan bertenaga ditampilkan negara dalam usaha untuk merobek gawang Vietnam.

Namun penjaga gol mereka, Pham Van Tu jelas cukup tangkas mengawal gawangnya sepanjang perlawanan sekali gus menggagalkan deretan peluang terbaik dimiliki skuad negara.

Vietnam membuka tirai jaringan pada minit ke-27 menerusi sepakan penalti yang diambil Tu Minh Quang bagi memberikan kelebihan buat skuad kendalian Diego Raul Giustozzi tersebut.

Malaysia Vietnam
Kredit Foto: Dean Hilman

Sepakan itu dihadiahkan pengadil dari Indonesia, Wahyu Wicaksono selepas bola terkena tangan Danial Dain dalam kawasan D.

Ketika usaha dijelmakan skuad negara masih gagal membuahkan hasil, Nguyen Thinh Phat mengambil kesempatan di atas kesilapan Saad Sani pada minit ke-34 bagi melebarkan kedudukan.

Walaupun menggunakan taktikal ‘Power Play’ pada lewat permainan dalam usaha mengurangkan defisit jaringan, ia masih belum mencukupi buat skuad negara untuk menghalang kemenangan Vietnam itu.

Tugas berat menanti skuad negara pada petang esok apabila akan berhadapan dengan Thailand dimana hanya kemenangan akan menghidupkan kembali peluang mereka untuk mara ke separuh akhir.