Ketua jurulatih skuad futsal Malaysia, Rakphol Sainetngam gembira melihat peningkatan prestasi anak buahnya menjelang sepak mula Kejuaraan Futsal ASEAN 2024 pada 3 November nanti.

Selepas skuad negara dibelasah Indonesia tempoh hari, pengendali kelahiran Thailand itu menggunakan kesempatan baki dua minggu sesi latihan untuk memberikan tumpuan kepada aspek bertahan.

Baca Juga:

Perkembangan positif dapat disaksikan apabila Malaysia berjaya mengikat Australia serta kelab gergasi Thailand, Bluewave Chonburi 1-1 pada dua perlawanan pemanas badan yang berlangsung di Bangkok pada 27 dan 30 Oktober lalu.

Ia merupakan satu indikasi jelas bahawa skuad negara sudah mula membentuk persefahaman baik terutamanya ketika bertahan.

“Saya telah dapat melihat peningkatan ketara dalam pemain saya selepas perlawanan pemanas badan di Indonesia,” ujar Rakphol ketika bercakap kepada wakil The Vocket.

“Apabila pulang ke Malaysia, pasukan meneruskan sesi latihan. Kami meluangkan masa dua minggu untuk membuat persiapan bagi menghadapi pertandingan AFF (ASEAN).

“Dua perlawanan persahabatan dilalui iaitu menentang Australia dan Chonburi juga jelas amat membantu dalam menangani kelemahan kami sebelum kejohanan AFF. Kini, pemain dan semua yang terlibat telah menunjukkan satu peningkatan yang sangat baik.”

“Perubahan ketara yang dapat disaksikan adalah ketika bertahan dan sekarang ini, kami giat mempertingkatkan lagi aspek bertahan supaya lebih agresif dan kuat bagi menghadapi saingan sebenar nanti.”

“Saya yakin sekiranya kita mempunyai pertahanan yang mantap, kita mampu untuk menewaskan pasukan lawan. Para pemain telah menunjukkan peningkatan yang ketara seperti yang dapat dilihat daripada keputusan perlawanan persahabatan (bertemu Australia dan Chonburi).”

“Kami telah menguatkan jentera pertahanan seperti yang saya bayangkan dan pemain telah menunjukkan prestasi yang lebih baik.”

“Sudah pasti semua pasukan yang saya bimbing, saya akan menginginkan kejuaraan. Namun, pemain harus membuktikan dengan menyajikan sesuatu yang istimewa untuk menewaskan pasukan lawan.”

“Tiada yang mustahil sekiranya pemain mempunyai perkara tersebut,” tambah Rakphol Sainetngam lagi.