Endeavor mencipta sejarah baru dengan majlis ‘Future Forum 2023’ yang berakhir dengan gemilang, di mana ia menjadi perhimpunan utama pemain-pemain besar industri jenama pengguna di Malaysia yang dihadiri lebih 400 orang peserta.

Majlis berprestij ini menonjolkan kisah perjalanan jenama-jenama pengguna terbesar di rantau ASEAN dan memperkasakan usahawan dalam pelbagai bidang, pelabur dan pakar industri bagi menyerlahkan potensi mereka dan memberi definisi kejayaan yang baru.

Baca Juga:

‘Future Forum 2023’ bermula dengan sesi ucaptama yang menarik oleh Yang Berbahagia, Steven Sim, Timbalan Menteri Kewangan Malaysia. Beliau yang merupakan tetamu kehormat majlis telah mengetengahkan keunikan Malaysia sebagai negara dengan pelbagai masyarakat, serta peranannya yang penting dalam memacu kejayaan dalam keusahawanan.

Beliau telah menggesa usahawan yang hadir untuk merebut peluang di persada dunia dan melonjakkan usaha niaga ke tahap yang lebih tinggi. Ucapan beliau menjadi dasar kepada hari yang penuh dengan perbualan menarik dan pandangan
transformatif.

Gambar hadirin dan speaker di Future Forum 2023

Acara luar biasa ini menampilkan senarai tokoh industri yang terkemuka, termasuk Ahli Lembaga Pengarah Emeritus Endeavor Tony Fernandes (Ketua Pegawai Eksekutif Capital A), Ahli Lembaga Pengarah Endeavor Eric Cheng (Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Carsome), Mentor Endeavor Joel Neoh (Pengarah Urusan CircleDNA), Khailee Ng (Rakan Pengurusan 500 Global), Mentor Endeavor Rafiq Razali (Pengarah Urusan Media Prima), Calon pre-ISP Endeavor Lennise Ng (Ketua Pegawai Eksekutif Dropee), Calon pre-ISP Endeavor Melvin Chee (Ketua Pegawai Eksekutif RPG Commerce), Janette Chu (Ketua Produk CircleDNA), Samantha Kwok (Naib Presiden Operasi CircleDNA), Sherry Ho (Naib Presiden Kanan Pemasaran CircleDNA), dan Adlin Yusman (Pengarah Urusan Endeavor Malaysia).

Melalui sesi dialog dan forum yang diadakan, mereka telah berkongsi perjalanan luar biasa mereka, strategi untuk berjaya dan pandangan bernilai tentang masa depan teknologi pengguna. Barisan moderator yang mengelola sesi-sesi perbincangan hangat tersebut adalah Mentor Endeavor Raja Hamzah (Pengarah Urusan RHL Ventures), Audra Pakalnyte (Rakan Kongsi First Move), dan Tanvir Walia (Ketua Syarikat Pemula dan Pemasaran Singapura & ASEAN AWS).

Mentor Endeavor, Joel Neoh berucap di Future Forum 2023

Di ‘Future Forum 2023’, Joel Neoh telah mendedahkan secara eksklusif formula utama kejayaannya — iaitu komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam mempelajari dan memerhati landskap global.

“Saya percaya walaupun teknologi masa depan sudah ada, taburannya masih tidak sekata. Bagi merapatkan jurang ini, usahawan perlu aktif menerokai pelbagai sudut di dunia untuk menyelami dasar keusahawanan negara-negara berbeza,” kongsi Joel.

Kisah-kisah jujur yang dikongsikan oleh usahawan-usahawan cemerlang ini menjadi contoh kepada nilai-nilai Endeavor iaitu; memasang impian lebih besar, berkembang lebih pesat, dan ‘pay it forward’ (membalas kebaikan dengan kebaikan).

Tetamu penting yang turut hadir adalah Datuk Md Arif Mahmood (Pengerusi KPJ Healthcare Berhad, mantan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Downstream), Dato’ Syed Haizam Jamalullail (Pengarah Urusan Tuas Capital Partners), Taufiq Iskandar (Ketua Pegawai Eksekutif Penjana Kapital Sdn Bhd) dan Timothy Tiah (Pengarah Eksekutif Colony Co-Working Space).

Penghargaan turut dizahirkan Endeavor Malaysia kepada para penaja antaranya CIMB, AWS, dan MyStartup, serta rakan penganjur, Penjana, RHL Ventures, CircleDNA, dan First Move atas sumbangan semua pihak yang sungguh berharga serta di atas usaha kerjasama dalam mewujudkan platform yang memberi impak positif untuk kecemerlangan keusahawanan.