Satu insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki dilaporkan berlaku di sebuah kafe di Bandar Sunway awal pagi tadi, dipercayai akibat salah faham, petik Malaysia Gazette.

Pihak polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada jam 6.16 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, pertelingkahan berkenaan telah menyebabkan tiga individu mengalami kecederaan ringan dan kini sedang dirawat di hospital.

 

View on Threads

 

“Siasatan awal menunjukkan pergaduhan berpunca daripada salah faham antara mangsa dan sekumpulan lelaki di lokasi kejadian. Pihak kami telah memeriksa tempat kejadian, mengambil keterangan saksi, dan meneliti rakaman litar tertutup (CCTV),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Polis kini sedang giat mengesan serta menahan kesemua suspek yang terlibat. Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh menggunakan senjata.

Wan Azlan turut menasihati orang ramai agar sentiasa bertoleransi, mengawal emosi, dan tidak menyebarkan spekulasi tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.

Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi:

– Balai Polis Bandar Sunway: 03-5621 2222

– IPD Subang Jaya: 03-7862 7222