Bekas pemain skuad kebangsaan, Hasnizam Uzir menyalahkan badan induk bola sepak negara selepas skuad B-23 Tahun negara tidak mampu melepasi saingan peringkat kumpulan dalam AFC B-23 Tahun baru-baru ini.

Malaysia menutup aksi peringkat kumpulan dengan satu lagi kekalahan dimana mereka tunduk kepada Kuwait dengan keputusan 2-1 sekaligus gagal meraih sebarang kemenangan dalam saingan edisi kali ini.

Baca Juga:

Selepas perlawanan, Hasnizam terus memberikan pendapatnya di laman media sosial miliknya dimana beliau menyalahkan badan induk bola sepak negara iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di atas kegagalan ini.

“Terima kasih anak muda atas pengorbanan anda. Kamu tidak bersalah, yang bersalah adalah badan induk yang tidak menyediakan ekosistem pertandingan pemain belia yang terbaik serta persiapan yang tidak serius,” kata Hasnizam Uzir.

Pada perlawanan semalam, Luqman Hakim nyaris letak Malaysia di depan pada minit ke 15 namun jaringan beliau dibatalkan kerana didapati berada dalam kedudukan ‘offside’.

Malah, skuad kendalian Juan Torres Garido itu terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain selepas penjaga gol, Sik Izhan meluru keluar dari kawasan kotak penalti lalu menerjah pemain lawan sekaligus dilayangkan kad merah.

Pada minit ke 45, hasil penelitian VAR, pengadil memberikan sepakan penalti kepada Kuwait kerana mendapati Umar Hakeem telah mengasari pemain lawan.

Ini kali ketiga skuad negara memberikan sepakan penalti kepada pihak lawan dalam kempen Piala Asia B-23 di Qatar.

Salman Al Awadhi menyempurnakan sepakan penalti dan menjadikan kedudukan 1-0 memihak kepada Kuwait sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Malaysia bermula dengan garang dan beberapa kali menguji benteng pertahanan Kuwait dengan percubaan berbahaya.

Malangnya, keghairahan skuad negara melancarkan serangan mengundang padah apabila Kuwait melakukan serangan balas lalu disudahkan dengan gol kedua hasil tandukan Talal Al Qaisi pada minit ke 60.

Bagaimanapun, jaringan itu tidak mematahkan semangat pemain muda negara yang terus bangkit mengandakan asakan.

Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila Haqimi Azim merembat masuk bola hantaran jarak jauh Nooa Laine untuk gol pertama Malaysia pada minit ke 63.

Aksi Malaysia menentang Kuwait boleh dianggap sebagai pelengkap jadual selepas kedua-dua pasukan sah tersingkir selepas tewas dua aksi awal peringkat kumpulan.

Keputusan terbabit juga memadam impian Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang mahu melihat skuad B-23 negara mampu melangkah ke separuh akhir dalam usaha merebut slot Olimpik Paris 2024.