Standard kekayaan individu di peringkat global nampaknya semakin berubah. Menjelang tahun 2026, gelaran orang kaya atau golongan atasan bukan lagi sekadar bergantung kepada gaji bulanan yang besar.
Sebaliknya, ia dinilai berdasarkan sejauh mana kedudukan kewangan seseorang itu mampu bertahan dalam menghadapi risiko dan ketidaktentuan ekonomi.
Menurut pakar kewangan peribadi daripada Amortization Calculator, Kevin Marshall, nilai harta bersih (net worth) untuk seseorang layak dikategorikan sebagai golongan atasan di Amerika Syarikat pada tahun 2026 dianggarkan antara US$2 juta hingga US$5 juta.
Jika nilai ini ditukarkan mengikut kadar mata wang semasa, ia bersamaan dengan sekitar RM8.8 juta hingga RM22 juta.
Perbezaan orang kaya yang sebenar

Marshall menegaskan bahawa perkara yang membezakan antara orang yang baru nak jadi kaya dengan mereka yang mampu kekal kaya adalah tabiat kewangan yang konsisten.
Pelaburan merupakan tunjang utama mereka. Bukannya pelaburan tangkap muat atau skim cepat kaya jangka pendek, tetapi strategi jangka panjang yang dipelbagaikan (diversified) serta mampu menjana pendapatan pasif secara berterusan.
Ini aset sebenar
Antara aset yang dimaksudkan termasuklah unit amanah (dana indeks), hartanah, pemilikan perniagaan, dan instrumen lain yang nilainya semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Selain itu, Marshall menjelaskan bahawa keluarga kelas atasan bukan sekadar mempunyai dana kecemasan, tetapi mereka juga memiliki “dana peluang”.
Maknanya, mereka sentiasa ada modal yang tersedia untuk bertindak pantas sekiranya muncul peluang pelaburan menarik atau ketika menghadapi situasi luar jangka.
Gaji besar belum tentu kaya
Beliau memberi contoh tentang seseorang yang mempunyai gaji mencecah ratusan ribu (enam angka dalam dolar), tetapi hidup sekadar cukup makan sehingga perbelanjaan kecemasan yang kecil pun boleh menyebabkan kewangannya hancur.
Sebaliknya, ada pelanggan lain yang gajinya lebih rendah, tetapi sangat berdisiplin dalam menyimpan duit dan bijak menyusun bajet supaya ada lebihan wang yang selesa.
Hasilnya, individu ini lebih cepat mencapai status kelas atasan kerana dia berjaya membina kestabilan kewangan terlebih dahulu sebelum mengejar jumlah kekayaan yang besar.
CEO REAP Financial, Chris Heerlein, menambah lagi, tanda seseorang itu sudah pun melangkah masuk ke golongan kelas atasan adalah apabila pengurusan kewangan mereka tidak lagi dipengaruhi oleh tekanan atau rasa panik. Baginya, kekuatan utama orang kaya terletak pada kepastian.
Mereka sudah tahu bagaimana keadaan pendapatan mereka dalam masa 10 tahun akan datang, faham selok-belok kos tetap tanpa perlu agak-agak, dan mampu menangani sebarang kecemasan tanpa menjejaskan gaya hidup mahupun rancangan jangka panjang mereka.
“Status kelas atasan bermakna anda mampu menghadapi sebarang pergolakan ekonomi tanpa perlu mengubah cara hidup atau mengorbankan masa depan anda,” katanya.