Konsortium yang diketuai Gareth Bale dilaporkan terus berminat untuk membeli kelab gergasi Wales, Cardiff City daripada pemilik semasa kelahiran Malaysia, Tan Sri Vincent Tan.

Vincent pada ketika ini berada bawah tekanan untuk menjual kelab tersebut susulan prestasi hambar mereka menamatkan kempen EFL Championship 2024/25 di kedudukan terakhir.

Baca Juga:

Keadaan yang memaksa Cardiff beraksi dalam saingan EFL League One pada musim ini dimana liga tersebut sudah pun memulakan aksinya pada 2 Ogos lalu.

Impian Besar Bale Mahu Jadi Pemilik Cardiff City

“Ia sesuatu yang berada dalam radar saya, sesuatu yang saya ingin lakukan, sesuatu yang saya ingin berikan kepada penyokong Cardiff.”

“Sudah tentu, sebagai anak kelahiran Wales, saya tahu betapa fanatiknya penyokong Cardiff City terhadap kelab mereka,”

“Impian setiap pasukan sudah tentu untuk beraksi di Premier League. Ia jelas satu tugas yang sangat sukar tetapi sesuatu yang pastinya saya ingin lakukan,” ujar Bale menurut sumber laporan Goal.

Bale dan rakan kongsinya sebelum ini mengemukakan tawaran awal bernilai £40 juta (RM54 juta) untuk mengambil alih Cardiff, namun ditolak oleh Vincent, sebelum kumpulan itu kembali dengan tawaran baharu yang telah dipertingkatkan.

Bekas pemain antarabangsa Wales dan bintang Real Madrid itu berhasrat untuk memiliki The Bluebirds kerana mahu mencontohi perjalanan pelakon Hollywood, Ryan Reynolds dan Rob McElhenney bersama Wrexham.

Wrexham berada di momentum terbaik apabila menikmati kebangkitan luar biasa hasil tiga kenaikan liga berturut-turut daripada National League ke EFL Championship bersandarkan kepada sokongan padu duo sahabat baik tersebut.

Sumber