Sering kali kita dengar keluhan atau stigma masyarakat yang melabelkan Generasi Z (Gen Z) sebagai “generasi microwave” yang kononnya golongan muda ini lebih selesa memesan makanan di luar atau sekadar memanaskan makanan segera berbanding bersusah payah di dapur. Namun, adakah tanggapan ini benar?
Bagi menyangkal stereotaip tersebut dan meraikan bakat sebenar anak muda, Seismik Makan (di bawah naungan REV Media Group) telah melancarkan sebuah kempen penuh inspirasi bertajuk “Siapa Masak Tu? Juara Masak Gen Z”.
Pertandingan ini bukan sekadar medan untuk menayang resipi, tetapi satu platform bermakna untuk membuktikan bahawa anak muda hari ini sangat kreatif, berdaya saing, dan mempunyai sentuhan magis yang tersendiri dalam bidang masakan.
Lebih menarik lagi, inisiatif ini menawarkan hadiah utama bernilai RM5,000 buat mereka yang berjaya memukau hati juri dan seluruh negara dengan bakat mereka.
Bagaimana untuk menyerlahkan bakat anda?
Penyertaan adalah sangat mudah dan terbuka kepada belia berusia 18 hingga 29 tahun. Anda hanya perlu:
1. Menghasilkan satu video memasak berdurasi maksimum 90 saat yang penuh dengan kreativiti dan personaliti tersendiri, lalu memuat naiknya di Instagram atau TikTok.
2. Menyuarakan pandangan anda dengan melengkapkan kapsyen ini: “Gen Z tak patut dilabel sebagai generasi microwave kerana…..”.
3. Tag akaun @SeismikMakan dan gunakan tanda pagar rasmi #SiapaMasakTu.
Tarikh tutup penyertaan adalah pada 23 Jun 2026.

Menurut Ketua Video (English Network) REV Media Group, Muhamad Helmi Yahya, kempen ini diharapkan dapat menjadi titik tolak yang memberi inspirasi kepada lebih ramai Gen Z untuk meneroka minat kulinari mereka, di samping membina sebuah komuniti pencinta makanan yang aktif dan positif di media sosial.
Kini tibalah masanya untuk mengubah persepsi. Buat golongan Gen Z di luar sana, jangan biarkan bakat anda tersembunyi di sebalik pintu dapur.
Ayuh buktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa anda mampu menyajikan hidangan luar biasa dan bukan sekadar bergantung pada “microwave”. Serlahkan diri anda dan rebutlah gelaran Juara Masak Gen Z!