Baru-baru ini Jobstreet by SEEK telah mengeluarkan laporan mengenai ‘Indeks Kebahagiaan Tempat Kerja’ di Malaysia.
Kajain tersebut tersebut dijalankan oleh agensi penyelidikan pasaran ‘Nature’ bagi pihak ‘SEEK’ antara Oktober dan November 2025, melalui tinjauan dalam talian.
Maklum balas telah dikumpul daripada 1,000 individu yang kini berada dalam pasaran pekerjaan, berumur antara 18 hingga 64 tahun, dan menetap di Malaysia.
Hasil kajian mendapati hanya 65% Generasi Z (Gen Z) berusia 18 tahun hingga 29 tahun yang berasa gembira di tempat kerja.
45% berasa burntout, penat dengan pekerjaan mereka dan 69% sahaja berasa mereka boleh ‘jadi diri sendiri’ di tempat kerja.
“Gen Z kurang cenderung untuk berasa selesa menjadi diri sendiri di tempat kerja dan lebih berisiko mengalami burnout ketika bergelut untuk mempelajari kemahiran baharu.
“Di samping itu, mereka berhadapan dengan cabaran ketara dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dan perlu membuktikan keupayaan diri di peringkat awal kerjaya mereka,” petik hasil kajian itu.
Apa Gen Z Malaysia mahukan?
Menurut hasil kajian tersebut, Gen Z menyatakan pengurangan tahap stres akan meningkatkan kebahagiaan mereka di tempat kerja.
Pada masa sama ketua di tempat kerja memainkan peranan aktif dalam menyokong kesejahteraan pekerja, terutamanya dalam memupuk bakat Gen Z.
“Dengan melengkapkan pekerja muda dengan sumber pengurusan stres yang berkesan serta strategi praktikal untuk menangani tekanan di tempat kerja, organisasi dapat membantu mereka berasa lebih yakin dan berkuasa ketika membina kerjaya mereka.
“Para ketua juga boleh memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan keadaan yang menyokong keseimbangan yang sewajarnya antara kerja dan kehidupan peribadi, di samping memupuk budaya di mana setiap sumbangan, sama ada besar mahupun kecil, sentiasa dihargai,” kongsi Jobstreet by SEEK.
Dalam pada itu, tempat kerja disarankan untuk membantu Gen Z menghubungkan tugas-tugas tersebut dengan matlamat yang lebih besar, supaya mereka berasa lebih gembira dan puas hati di pejabat.