Masjid TNB Bangsar kini menjadi tumpuan warga kota dan tular di media sosial, namun bukan sekadar kerana keindahan seni bina atau juadah berbuka puasa yang disediakan.

Apa yang menarik perhatian adalah kehadiran luar biasa golongan Gen Z yang kini mendominasi ruang solat, sekali gus mencetuskan fenomena baharu dalam pengimarahan masjid.

Data ini diperolehi secara kreatif melalui papan tanda bancian di pintu utama, di mana jemaah menandakan kehadiran mereka mengikut kategori umur.

Gen Z Pamer Kehadiran Paling Tinggi Di Masjid TNB Bangsar
Sumber Gambar: Threads

Berdasarkan statistik visual tersebut, golongan Gen Z (berusia 13 hingga 28 tahun) mendahului carta dengan jumlah pelekat paling banyak, diikuti oleh Gen Y di tempat kedua dan Gen Alpha di tempat ketiga.

Kejayaan masjid berkeluasan 1.67 hektar ini menempatkan hampir 4,000 jemaah dalam satu masa menjadikannya antara pusat ibadah paling meriah di Kuala Lumpur.

Gen Z Pamer Kehadiran Paling Tinggi Di Masjid TNB Bangsar
Sumber Gambar: Threads

Suasana di dalam ruang solat utama mempamerkan keharmonian pelbagai lapisan umur yang terlibat dalam aktiviti tadarus Al-Quran dan solat berjemaah.

Selain faktor kerohanian, Masjid TNB Bangsar menerima maklum balas positif kerana persekitarannya yang sangat kondusif, sistem pengurusan juadah berbuka yang profesional, serta tahap kebersihan dan keharuman ruang yang terjaga, menjadikannya destinasi pilihan jemaah sepanjang bulan Ramadan.

Dari sudut teknikal, masjid ini bukan sahaja estetik malah merupakan ikon teknologi hijau yang mesra alam di ibu kota.

Menariknya, ia dilengkapi dengan sistem penuaian air hujan melalui tangki berkapasiti 184 meter padu untuk kegunaan wuduk, sistem perpaipan aliran rendah bagi menjimatkan air, serta penggunaan mentol jimat tenaga.

Dibina atas prinsip kesederhanaan dan inklusiviti, masjid ini juga direka khas agar mesra Orang Kurang Upaya (OKU).

Syabas diucapkan kepada generasi muda, khususnya Gen Z, yang membuktikan komitmen tinggi dalam beribadah dan membawa nafas baharu kepada institusi masjid pada tahun ini.