Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani melengkapkan hari gemilang buat kem badminton negara di Istora Senayan, Jakarta selepas berjaya menjuarai beregu lelaki Indonesia Masters 2026 sebentar tadi.

Lebih manis kemenangan bermakna itu dilakarkan selepas Sze Fei-Nur Izzuddin menundukkan pasangan muda tuan rumah, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin dalam aksi ‘straight set’.

Ia merupakan kejuaraan ketiga dimenangi kem Malaysia pada edisi kali ini setelah Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Pearly Tan-M. Thinaah yang terlebih dahulu memastikan kejuaraan menjadi milik mereka.

Pencapaian hebat dilakarkan adalah pertama kali dalam sejarah badminton negara mempunyai tiga juara dalam satu kejohanan sejak BWF World Tour Series mula dianjurkan.

Sze Fei-Nur Izzuddin Ikut Jejak Langkah Rakan Senegara

Berdepan lawan yang semakin meningkat naik, bekas pasangan ranking nombor satu dunia itu tidak diberikan laluan mudah pada set pertama.

Ia jelas dibuktikan apabila mereka diberikan tentangan sengit hingga kedudukan 20-19. Namun mereka menyerap tekanan dengan baik untuk menang 21-19.

Set kedua memperlihatkan aksi lebih menarik ditampilkan pasangan negara yang mengesahkan kejuaraan hasil kemenangan 21-13.

Sama seperti Tang Jie-Ee Wei dan Pearly-Thinaah, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut membawa pulang hadiah wang tunai bernilai  $39,500 (RM158,242.75).