Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menoktahkan kecemerlangan mereka di Jakarta selepas muncul juara Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2026 sebentar tadi.

Kemenangan manis dalam saingan berstatus Super 1000 kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu hadir setelah Sze Fei dan Nur Izzuddin menundukkan wakil tuan rumah, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin dalam aksi tiga set.

Segalanya pada mula saingan tampak sukar buat pasangan negara yang dilihat sedikit bergelut untuk mencabar gandingan ranking ke-12 dunia itu.

Tambahan pula Raymond dan Nikolaus mendapat sorakan padu ribuan penyokong setia badminton Indonesia yang membanjiri segenap ruang di Istora Senayan.

Kesukaran itu jelas dapat disaksikan apabila Sze Fei-Nur Izzuddin terpaksa berputih mata pada set pertama tewas 13-21 hanya dalam tempoh 13 minit.

Tersentak dengan kekalahan tersebut, gandingan yang kini menghuni ranking kelapan dunia itu tampil lebih bertenaga untuk menang 21-18 bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Kemenangan itu jelas menyemarakkan lagi api perjuangan Sze Fei-Nur Izzuddin yang tidak memberikan ruang besar buat pasangan muda tuan rumah itu untuk bangkit.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya untuk kemenangan 21-10 yang memastikan kejuaraan Terbuka Indonesia 2026 menjadi milik mereka.

Dengan kejayaan manis tersebut, mereka membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM432,442.94.