Manchester United sekali lagi kempunan mengutip 3 mata penuh apabila tewas 3-4 kepada Chelsea ketika aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge.

Kekalahan itu menjadikan misi mereka untuk merebut tiket beraksi di Europa League musim depan semakin sukar apabila dipisahkan 9 mata dengan pasukan tangga kelima, Tottenham Hotspur.

Baca Juga:

Chelsea terlebih dahulu mengejutkan skuad kendalian Erik Ten Hag dengan gol seawal minit ke 4 menerusi rembatan Conor Gallagher dalam kawasan kotak penalti.

Tuan rumah terus di depan selepas Cole Palmer menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke 19 untuk gol kedua Chelsea.

Namun, United tidak mudah mengalah dan bangkit menjaringkan dua gol melalui Garnacho dan Bruno Fernandes sehingga tamat separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan United mendahului 3-2 pada minit ke 67 apabila Garnacho menanduk masuk bola hantaran Anthony dari sebelah kanan.

Bagaimanapun, jaringan itu tidak mematahkan semangat pemain Chelsea untuk terus mengandakan asakan dan membuatkan barisan pertahanan United terpaksa bekerja keras.

Ketika perlawanan hanya tinggal tiga minit lagi untuk tamat, bek United, Dalot melakukan kesilapan dengan memberikan sepakan penalti kepada Chelsea. Ia disempurnakan oleh Cole Palmer sekaligus menceriakan penyokong tuan rumah.

Malah, Stamdford Bridge sekali lagi bergegar dengan sorakan penyokong seminit kemudian apabila Palmer melengkapkan hatrik dengan gol kemenangan ke atas United untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik Chelsea.

Selepas ini, United akan bertemu Liverpool pada hari Ahad ini dan ia adalah perlawanan yang menjadi tumpuan peminat.