Bagi menyambut ulang tahun ke-10 Good Vibes Festival – acara yang paling dinantikan oleh anak muda – ia bakal menemui peminat pada Julai tahun ini. Festival selama tiga hari ini bakal diadakan di Sepang dengan penampilan menarik daripada pelbagai artis tempatan dan antarabangsa.

Antara persembahan yang bakal mencuri tumpuan pada Good Vibes Festival tahun ini adalah kedatangan kumpulan The Strokes, The 1975 dan The Kid LAROI. Selain itu, persembahan dari artis antarabangsa yang lain termasuk ALYPH, Dermot Kennedy, Dhruv, DPR Ian, Giveon, Gryffin, NxWorries, Peach Tree Rascals, Porter Robinson dan RINI.

Bagi artis tempatan pula, antara yang bakal membuat persembahan termasuk seperti Airliftz, Blink, Emo Night KL, FORCEPARKBOIS, JAIE, Jovynn, Lunadira, Resort dan Talitha.

“Sepang menyimpan banyak sejarah untuk kami — di sinilah Good Vibes Festival yang pertama diadakan pada 2013. Sejak itu, kami telah mengalami pasang surut tetapi berbangga kerana masih berada di sini 10 tahun nanti.

“Untuk meraikan dan menunjukkan rasa terima kasih kami kepada semua orang yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan ini bersama kami dalam dekad yang lalu, kami akan memperluaskan festival itu kepada tiga hari dengan menampilkan barisan artis terbesar kami setakat ini,” kata Wan Alman, Pengarah Hiburan di Future Sound Asia.

Bagi anda yang mahu mendapatkan tiket pra-jualan, anda boleh berbuat demikian dengan terus berkunjung ke laman sesawang Good Vibes Festival. Tiket akan mula dijual pada 22 February nanti.