Tan Sri Hamidin Mohd Amin membuat keputusan mengejutkan apabila menarik diri daripada persaingan merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), walaupun mendakwa menerima pencalonan tertinggi serta sokongan majoriti ahli gabungan.
Presiden Kehormat FAM itu berkata keputusan berkenaan bukan sesuatu yang mudah untuk dibuat selepas menerima kepercayaan besar daripada keluarga bola sepak Malaysia.
“Keputusan ini bukan sesuatu yang mudah, terutama apabila saya dilaporkan menerima pencalonan tertinggi dan sokongan majoriti daripada sebahagian besar ahli gabungan FAM.
“Saya ingin memohon maaf kepada semua ahli gabungan FAM dan penyokong bola sepak Malaysia yang telah memberikan kepercayaan serta sokongan kepada saya. Saya amat menghargainya,” katanya, seperti laporan Buletin TV3.
Menurut Hamidin, beliau mengambil keputusan tersebut selepas mempertimbangkan kepentingan FAM serta hala tuju bola sepak negara dalam jangka panjang.
Beliau percaya pengundurannya mampu memberi ruang kepada FAM untuk memasuki fasa kepimpinan baharu tanpa menimbulkan perpecahan dalam kalangan ahli gabungan.
“Saya tidak mahu pemilihan ini menjadi punca perpecahan dalam kalangan ahli gabungan FAM atau menjejaskan agenda pembaharuan dan pembangunan bola sepak negara.
“Saya mahu melihat FAM kekal kukuh dan bersatu, selain mendapatkan semula keyakinan rakyat Malaysia, khususnya penyokong dan peminat bola sepak,” katanya.
Hamidin turut menegaskan bahawa tumpuan utama ketika ini adalah memastikan proses peralihan kepimpinan FAM berjalan dengan lancar.
Katanya, barisan kepimpinan selepas ini perlu diberikan ruang untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha membina masa depan bola sepak Malaysia.
Dalam pada itu, Hamidin turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli gabungan FAM dan penyokong Harimau Malaya atas kepercayaan serta sokongan yang diberikan sepanjang tempoh beliau memimpin badan induk bola sepak negara.
“Saya sekali lagi memohon maaf sekiranya keputusan ini mengecewakan mana-mana pihak. Terima kasih atas segala kepercayaan, sokongan dan kasih sayang yang telah diberikan kepada saya selama ini,” katanya.
Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi baki penggal 2025 hingga 2029 dijadualkan berlangsung pada 17 September ini.
Sebelum ini, FAM mengumumkan Datuk Ab Ghani Hassan dan Datuk Seri Shahril Mokhtar sebagai dua calon yang akan bertanding bagi jawatan Presiden.