Pengurus Barcelona, Hansi Flick menjelaskan punca kekalahan 2-4 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi tadi.

Pengendali dari Jerman itu menyifatkan kekurangan kecergasan fizikal, tahap keletihan yang semakin meningkat serta kesilapan ketika bertahan sebagai faktor utama yang menyumbang kepada kekalahan tersebut.

Hansi Flick Dedah Kelemahan Barcelona

Dalam pada itu menurut sumber laporan beIN Sports, Flick turut menjelaskan bahawa jadual perlawanan yang padat sepanjang dua minggu lalu telah memberi kesan besar kepada para pemainnya.

Walaupun enggan menjadikan keletihan sebagai alasan, beliau menegaskan bahawa kekurangan tenaga boleh menyebabkan kesilapan ketika bertahan mahupun menyerang.

Flick turut menyatakan bahawa masalah perjalanan yang dihadapi pada Sabtu lalu menjejaskan proses pemulihan para pemain selepas cuaca buruk memaksa pasukan itu bermalam satu malam tambahan di Seville.

Pengendali itu mengakui bahawa keadaan berkenaan mungkin turut mempengaruhi prestasi Barcelona ketika berdepan juara bertahan Eropah tersebut.

Walaupun berpendapat 45 minit pertama perlawanan menunjukkan beberapa petanda positif, beliau mengakui PSG bijak mengambil peluang yang ada untuk membuktikan kelebihan mereka dalam aspek serangan.

Flick turut memuji penjaga gol, Joan GarcĂ­a yang melakukan beberapa aksi menyelamat penting bagi memastikan Barcelona terus berpeluang dalam perlawanan tersebut.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa selepas pasukan dari Perancis itu menjaringkan gol ketiga, para pemainnya mula kehilangan intensiti permainan sehingga membolehkan lawan menambah jaringan.

Susulan dengan kekalahan itu, Hansi Flick menegaskan bahawa pasukannya perlu meneliti kesilapan yang dilakukan bagi mengelakkan situasi sama berulang dalam perlawanan akan datang.

Sumber