Restoran Rembayung milik pempengaruh dan usahawan popular, Khairul Aming, merekodkan jualan makan tengah hari tertinggi dalam sejarah operasinya pada hari pertama pelaksanaan sistem tempahan meja baharu menerusi ciri Grab Dine Out.
Kejayaan tersebut dikongsikan sendiri oleh Khairul Aming menerusi satu hantaran di akaun Threads miliknya.
Beliau menzahirkan rasa syukur serta terharu melihat kepuasan para pelanggan yang hadir menjamu selera di restorannya yang terletak di Kampung Baru itu.
View on Threads
Bagaimanapun, sambutan luar biasa daripada pengunjung turut mencetuskan limpahan pesanan makanan yang mendadak sehingga berlaku sedikit kelewatan dalam penyediaan hidangan.
Sehubungan itu, Khairul Aming memohon kemaafan secara terbuka kepada semua pelanggan yang terkesan dengan kelewatan berkenaan dan menjelaskan bahawa proses keseluruhan tempahan meja tetap berjalan dengan lancar tanpa sebarang isu teknikal yang ketara.
Noktahkan Isu ‘Scalper’, Ini Cara Baharu Booking Meja Rembayung Yang Korang Wajib Tahu
Terdahulu, peralihan penuh ke platform Grab dilaksanakan sebagai langkah drastik bagi menyekat aktiviti scalper yang mengeksploitasi sistem lama untuk menjual semula slot meja makan dengan caj tambahan melampau demi mengaut keuntungan peribadi.
Menerusi kerjasama strategik ini, pelbagai langkah keselamatan diperkenalkan termasuk penetapan had satu tempahan bagi setiap dua minggu untuk pengguna yang disahkan, serta tempahan yang tidak boleh dipindah milik.