Skuad bola sepak kebangsaan atau nama julukannya, Harimau Malaya bakal mempunyai sebuah lagu tema rasmi selepas ini.
Perkembangan itu disahkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila mengumumkan Warner Music Malaysia (WMM) sebagai rakan penaja muzik rasmi Harimau Malaya semalam.
Baca Juga:
- Ini Komen Mats Deijl Selepas Disahkan Tidak Layak Sertai Harimau Malaya
- New Zealand Umum Barisan Terkuat Lawan Harimau Malaya
- Harimau Malaya Mungkin Lawan Satu Lagi Pasukan Dari Oceania
Projek pertama untuk memulakan kerjasama yang menarik ini adalah untuk menghasilkan lagu rasmi bola sepak untuk Harimau Malaya.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff telah meluahkan keterujaan beliau di atas kerjasama terbaharu FAM bersama WMM.
“Seperti yang semua sedia maklum, muzik merupakan antara elemen penting yang dapat menghidupkan rasa semangat dan keterujaan dalam sukan bola sepak.
“Ia juga antara salah satu cara di mana kita dapat menghubungkan generasi ke generasi dan saya amat teruja untuk melihat lagu rasmi bola sepak kebangsaan oleh WMM menarik rakyat Malaysia terutama sekali generasi muda daripada pelbagai latar belakang dan kaum.
“Selain itu, saya pasti menerusi lagu rasmi bola sepak kebangsaan ini, ia dapat membakar semangat pemain-pemain Harimau Malaya apabila turun beraksi demi negara pada perlawanan-perlawanan yang akan datang.
“Besar harapan saya agar jalinan kerjasama menyatukan dua elemen yang kuat – bola sepak dan muzik – untuk mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi semua peminat Harimau Malaya,” kata Datuk Wira Mohd Yusoff.

Sementara itu, Pengarah Urusan WMM, Dinesh Ratnam, berkongsi keterujaannya mengenai kerjasama ini.
“Bolasepak adalah sukan yang sangat disukai oleh semua rakyat Malaysia dan kami berbangga menyokong pasukan kebangsaan kami, Harimau Malaya, di dalam dan di luar padang.
“Oleh itu, kami di Warner Music Malaysia, sangat berbangga menjadi rakan penaja muzik rasmi pertama untuk FAM, dan teruja untuk memulakan kerjasama kami dengan menghasilkan lagu rasmi untuk Harimau Malaya.
“Ini adalah peluang yang sangat baik bagi kami untuk menunjukkan komitmen kami dalam menyokong kedua-dua sukan dan muzik industri di Malaysia dan kami berharap kerjasama ini juga akan meningkatkan semangat kesukanan di kalangan rakyat Malaysia,” kata Dinesh.