Skuad Harimau Malaya dilaporkan bakal menentang pasukan di ranking FIFA 33 dunia, Russia dalam aksi persahabatan pada jendela antarabangsa FIFA pada bulan oktober ini.

Laman sosial Asean Football mendedahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menjemput pasukan dari eropah itu untuk menguji kekuatan skuad kendalian Pau Marti Vicente.

Baca Juga:

Menurut laporan Harian Metro beberapa hari lepas, Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman tidak menolak kemungkinan akan mengadakan perlawanan persahabatan membabitkan pasukan berpangkalan di Eropah atau Amerika Latin.

Beliau berkata, pemangku jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti memiliki pengaruh yang kuat untuk merealisasikan impian penyokong melihat perlawanan tersebut.

“Kemungkinan itu ada (lawan pasukan Eropah) kerana rangkaian dan hubungan yang dimiliki Pau Marti. Namun beliau mungkin sudah ada perancangan untuk pasukan Harimau Malaya.

“Kita serahkan pemilihan pasukan untuk perlawanan persahabatan kepada Pau Marti kerana beliau mengetahui lebih mendalam apa yang diperlukan skuad Harimau Malaya,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan beraksi dalam Pestabola Merdeka yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil babitkan pertembungan dengan Lubnan, Filipina, Tajikistan.

Selepas itu, dua jendela aksi antarabangsa pada Oktober dan November menanti skuad kendalian Pau Marti sebelum beraksi di Piala AFF hujung November hingga Disember.