Skuad Harimau Malaya berpotensi bertemu pasukan di ranking 163 dunia, Maldives dan Nepal (176 dunia) pada aksi persahabatan Tier 1 pada bulan November depan.

Ini kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah meminta bantuan India untuk mencari satu lagi pasukan dari Asia Selatan bagi mengatur aksi persahabatan sepanjang tempoh kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bulan depan.

Setakat ini, Harimau Malaya dijadualkan menentang India pada 19 November ini dan FAM perlu mendapatkan satu lagi aksi persahabatan antarabangsa.

Perkembangan tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menurut laporan dalam Berita Harian. 

“Kita akan mencari satu lagi pasukan supaya skuad kebangsaan dapat mengharungi dua perlawanan persahabatan pada November ini.

“Satu lagi pasukan akan ditentukan kelak dan pada masa sama, kita juga meminta bantuan Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) untuk mencari satu pasukan di bahagian Asia Selatan.

“Perlawanan persahabatan ini cukup penting dalam usaha memantapkan barisan pemain bagi mengharungi perlawanan Piala ASEAN 2024 pada Disember ini,” katanya.

Berdasarkan ranking terkini FIFA bagi negara Asia Selatan, Maldives dan Nepal berada dalam kelompok tiga teratas selain India.

Ini juga adalah salah satu persiapan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2027 kerana Harimau Malaya berpotensi jumpa Maldives atau Nepal yang diletakkan dalam balang 3 undian.

Balang 4 turut menempatkan 3 lagi pasukan Asia Selatan iaitu Bhutan, Bangladesh dan Pakistan.

Skuad negara mempunyai tiga peluang perlawanan persahabatan untuk memperbaiki ranking sebelum undian kelayakan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung pada 19 Disember ini.