Dua pasukan dari Oceania dijangka jadi lawan buat Harimau Malaya pada jendela Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bulan depan.

Setakat ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan akan menentang New Zealand di Auckland pada 14 Oktober dan satu lagi perlawanan persahabatan masih dalam perancangan.

Baca Juga:

Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman menerusi laporan Berita Harian menjelaskan badan induk itu tidak pernah mengatur perlawanan persahabatan dengan Russia.

Beliau berkata pihaknya telah meminta bantuan Persatuan Bolasepak New Zealand untuk mengatur perlawanan persahabatan kedua menentang pasukan dari Oceania. 

“Sememangnya skuad Harimau Malaya kemungkinan akan mengharungi dua perlawanan persahabatan pada Oktober ini dan mungkin satu lagi pasukan adalah berpengkalan di Oceania.

“Sekarang ini, kita menunggu maklumbalas daripada New Zealand yang membantu untuk mengatur perlawanan persahabatan itu selepas menentang pasukan mereka.

“Pada masa sama, terdapat khabar angin menentang Rusia adalah tidak benar walaupun sebelum ini memang ada permintaan untuk mengadakan perlawanan persahabatan namun masanya tidak kena,” katanya.

Harimau Malaya
FOTO: FAM

Media Russia, Sport Express, sebelum ini melaporkan Malaysia dan Turkmenistan menjadi pilihan Russia untuk mengadakan perlawanan persahabatan sebelum mereka bertemu Syria pada bulan November.

Aksi persahabatan diaturkan sebagai medan persiapan skuad kendalian Pau Marti bagi menghadapi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric pada hujung tahun ini selain Kelayakan Piala Asia 2027 yang bermula tahun depan.