Pasukan di ranking 33 dunia, Russia berminat uji kekuatan Harimau Malaya dalam aksi persahabatan ketika jendela antarabangsa FIFA bulan oktober ini.

Menurut laporan media Russia, Sport Express, Malaysia dan Turkmenistan menjadi pilihan Russia untuk mengadakan perlawanan persahabatan sebelum mereka bertemu Syria pada bulan November.

Baca Juga:

“Skuad kebangsaan Russia akan bertemu Syria pada 15 November yang bakal berlangsung Moscow.

“Bagi bulan Oktober, pasukan Rusia mungkin akan menentang dua pasukan rantau Asia iaitu Malaysia dan Turkmenistan. Pada masa sama, pasukan Malaysia perlu berada di Auckland pada 14 Oktober, di mana perlawanan menentang New Zealand akan berlangsung, justeru, ia boleh bertemu Russia pada 9 atau 10 Oktober,” lapor Sport Express.

Setakat ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan akan menentang New Zealand di Auckland pada 14 Oktober dan satu lagi perlawanan persahabatan masih dalam perancangan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman menerusi laporan Berita Harian bulan lalu menjelaskan badan induk itu tidak pernah mengatur perlawanan persahabatan dengan Russia.

“Setakat ini kita memang tiada mengatur perlawanan dengan pasukan Russia. Sekarang kita ada Pestabola Merdeka pada September.

“Oktober kita pergi away (aksi persahabatan di tempat lawan), itu pun dalam Asia juga dan setakat ini belum putuskan lagi siapa lawan Harimau Malaya. Pada November mungkin kita jemput Laos, Yaman atau Syria,” katanya kepada BH Sukan.

Dakwaan mengenai Harimau Malaya akan menentang Russia turut menjadi bualan laman sosial Asean Football yang mendedahkan FAM telah menjemput pasukan dari eropah itu untuk menguji kekuatan skuad kendalian Pau Marti Vicente.