Harry Kane akhirnya berjaya mengecapi nikmat selaku juara selepas Bayern Munich mengungguli kempen Bundesliga 2024/25 berikutan keputusan seri dicatatkan pencabar utama, Bayer Leverkusen tempoh hari.
Kejayaan manis itu sekali gus menamatkan penantian panjang penyerang berbisa tersebut untuk menjulang trofi saingan kompetitif dalam kariernya.
Baca Juga:
- Harry Kane Semakin Hampir Julang Piala Pertama
- Ini Yang Diusahakan Harry Kane Hingga Menyebabkan Kekayaannya Meningkat Dengan Ketara
- Tuchel Terkejut Lihat Harry Kane Begitu Obses Dengan Cappuccino
Lebih tepat lagi, kejuaraan sulung dalam kariernya hadir ketika Kane berusia hampir memasuki 32 tahun.
Satu penantian cukup panjang buat penyerang yang sudah meledakkan ratusan jaringan dalam kariernya.
Sehubungan dengan itu legenda England, Rio Ferdinand memberikan penghargaan buat Kane dengan memuji kesabaran dan pengorbanan pemain tersebut.
“Harry Kane – tahniah diucapkan,” ujar Ferdinand menurut satu hantaran di laman Facebook peribadi miliknya.
“Perjalanan Harry Kane adalah satu lagi contoh tentang betapa kerasnya anda perlu bekerja, berapa lama masa yang boleh diambil dan berapa banyak kekecewaan yang perlu dilalui untuk mencapai apa yang anda inginkan dalam hidup.”
“Harry mempunyai banyak gol, lilitan lengan kapten dan sanjungan sebagai individu. Tetapi kini dia akhirnya berjaya menggenggam trofi pasukan pertamanya dalam kariernya.”
“Inilah perkara yang selama ini sukar untuk dimilikinya, yang ramai orang fikir dia mungkin tidak akan dapat.”
“Saya gembira kerana dia berjaya mencapainya melalui kerja keras, keazaman, pemikiran yang kuat dan ketabahan.”
“Apabila semua itu digabungkan dengan bakat semula jadi yang dia miliki sebagai pemain, semuanya masuk akal tetapi bukan sesuatu yang mudah!”
“Tahniah kepada Harry Kane, anda sangat layak!” tambah Ferdinand lagi.