Harry Kane semakin menghampiri trofi pertama dalam kariernya selepas Bayern Munich menewaskan Heidenheim 4-0 pada aksi ke-30 saingan Bundesliga 2024/25, malam tadi.

Kemenangan penting yang dilakarkan di laman lawan itu menyaksikan Bayern Munich berkelebihan sembilan mata di hadapan pencabar terdekat, Bayer Leverkusen.

Baca Juga:

Juara bertahan itu bagaimanapun masih kekurangan satu perlawanan dimana akan beraksi menentang FC St. Pauli, awal pagi esok.

Sekiranya Leverkusen tewas pada aksi tersebut, Bayern Munich akan dinobatkan selaku juara dengan lebih awal tanpa perlu menunggu aksi minggu hadapan.

Satu keadaan yang sekali gus akan menamatkan penantian panjang Harry Kane untuk menjulang trofi kompetitif pertama dalam sejarah karier senior beliau.

Kane juga cemerlang dengan 36 gol dihasilkan buat skuad Bavaria itu pada musim ini yang menyaksikan 24 daripadanya terhasil dalam saingan liga.

Selain menjadi penjaring utama, pengaruh Kane turut dirasai dari segi kepimpinan di atas padang apabila dilihat sebagai tonggak penting dalam sistem permainan Vincent Kompany pada musim ini.

Ketajamannya di hadapan gol memberikan dimensi baru kepada Bayern Munich yang sebelum ini dilihat agak tumpul selepas era Robert Lewandowski.

Jika segalanya berjalan lancar, musim ini bukan sahaja bakal menjadi titik tolak kepada kejayaan Harry Kane bersama Bayern, tetapi juga membuka ruang lebih luas untuk beliau menambah koleksi trofi pada masa akan datang termasuk di pentas Eropah.