Bintang Arsenal, Kai Havertz tampil dengan sasaran besar menjelang musim baharu apabila menegaskan The Gunners mahu membolot kesemua trofi yang ditawarkan.
Selepas kejayaan dramatik menjuarai English Premier League (EPL) musim lalu, penyerang Jerman itu percaya skuad kendalian Mikel Arteta tersebut sudah bersedia untuk mencapai tahap lebih tinggi bagi mengekalkan kejayaan mereka dalam semua pertandingan.
Arsenal akhirnya menamatkan kemarau 22 tahun tanpa kejuaraan EPL selepas tiga kali berturut-turut muncul naib juara.
Bagaimanapun, skuad kendalian Mikel Arteta terlepas peluang mencipta kempen bersejarah apabila tewas kepada Paris Saint-Germain dalam aksi final UEFA Champion League (UCL) menerusi penentuan penalti.
Kai Havertz Mahu Arsenal Sapu Bersih
Havertz yang menjaringkan gol dalam pentas final Eropah tersebut menegaskan skuad Arsenal kini menyasarkan untuk membolot semua trofi domestik dan benua bagi membuktikan dominasi sebenar mereka.
“Kami mahu memenangi semua trofi. Itulah sebabnya kami berada di sini. Kami sudah memenangi English Premier League, tetapi masih banyak lagi yang mampu kami lakukan,” ujar Havertz menurut sumber laporan Goal.
“Kami perlu mencapai tahap yang lebih tinggi untuk merealisasikan perkara itu kerana kami tahu betapa panjangnya musim dan betapa sukar untuk bersaing dalam semua pertandingan.
“Kami mahu melakukannya dengan lebih baik lagi pada tahun ini dan mencipta lebih banyak kejayaan sekali lagi.”.
“Saya rasa kami mampu melakukannya, malah kami perlu melangkah lebih jauh. Anda dapat lihat terutamanya pasukan lain semakin bertambah baik, jadi kami perlu meningkatkan lagi tahap permainan.
“Saya fikir itulah sebabnya kami semua berada di sini dan itulah tujuan kami menjalani latihan. Kami mahu memulakan musim dengan kuat serta mencapai sasaran kami sekali lagi pada musim ini,” tambah Havertz lagi.