Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi meluahkan rasa terima kasihnya di atas kepercayaan yang diberikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terhadap beliau.
Bukan lagi rahsia bahawa jurulatih legenda dari Indonesia itu bakal mula menjalankan tugasannya bersama skuad badminton Malaysia bermula 1 Februari ini.
Baca Juga:
- RASMI: Herry Iman Dilantik Ketua Jurulatih Beregu Lelaki Negara
- BAM Belum Sahkan Kehadiran Herry Iman, Segelintir Peminat Indonesia Sudah Mulai ‘Risau’
- Tan Bin Shen Tinggalkan BAM, Herry Iman Jadi Sebutan Ramai Sebagai Calon Pengganti
Pengendali berusia 62 tahun itu menggantikan kekosongan ditinggalkan ketua jurulatih sebelum ini, Tan Bin Sheng yang memilih untuk bersama skuad kebangsaan Hong Kong.
Herry Iman yang turut dikenali sebagai ‘Naga Api’ akan kembali membimbing kem beregu lelaki selepas setahun dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan sektor beregu campuran skuad kebangsaan Indonesia.
“Ya, yang pastinya terima kasih kepada BAM kerana memberikan kepercayaan terhadap saya untuk melatih di Malaysia,” ujar Herry Iman menurut sumber laporan detikSport.
“Mengikut pendapat saya sama sahaja cabaran daripada BAM dalam memberikan sasaran tertentu. Tetapi saya belum tahu mengenainya (sasaran BAM) kerana perlu berjumpa dan duduk semeja bersama dahulu.”
“Saya harus menerima cabaran baharu ini, adrenalinnya pasti lebih seronok lagi, kan? Kerana kita dicabar lagi, ditetapkan sasaran apa-apa, jadi kita kena terima dan harap dapat memberi yang terbaik.”
“Secara peribadinya saya akan memberikan yang terbaik. Apa yang saya boleh berikan di Indonesia, akan saya berikan juga di Malaysia kerana saya profesional terhadap kerja saya.”
“Saya kerja dimana-mana juga akan memberikan yang maksimum,” tambah beliau lagi.