Spekulasi mengenai kehadiran jurulatih legenda kelahiran Indonesia, Herry Iman Pierngadi bagi membimbing kem badminton Malaysia akhirnya sudah terjawab.
Ia berikutan pengumuman rasmi yang dibuat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mengesahkan Herry Iman bergelar ketua jurulatih skuad sektor beregu lelaki negara.
Baca Juga:
- BAM Belum Sahkan Kehadiran Herry Iman, Segelintir Peminat Indonesia Sudah Mulai ‘Risau’
- Tan Bin Shen Tinggalkan BAM, Herry Iman Jadi Sebutan Ramai Sebagai Calon Pengganti
- Wong Choong Hann Panggil ‘Trio Malaysia’ Perkuatkan Barisan Kejurulatihan Badminton Hong Kong
Pengalaman luas pengendali yang turut dikenali dengan panggilan ‘Naga Api’ dalam kalangan peminat badminton dunia itu ditagih BAM terutamanya dalam usaha dalam memburu gelaran juara dunia buat negara serta pemenang pingat emas pertama dalam Sukan Olimpik.
“Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan legenda beregu Indonesia, Herry Iman Pierngadi sebagai Ketua Jurulatih Beregu Lelaki Kebangsaan yang baharu.”
“Herry mempunyai rekod cemerlang setelah berjaya melatih juara Olimpik seperti Candra Wijaya-Tony Gunawan (Sydney 2000) dan Hendra Setiawan-Markis Kido (Beijing 2008).”
“Herry akan memulakan tugas rasminya bersama BAM pada 1 Februari 2025,” ujar BAM menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan.
Herry telah memeterai kontrak selama empat tahun dan pastinya menarik untuk menyaksikan sumbangan hebat yang mampu dicurahkannya buat sektor beregu lelaki.
Peluang mendapat didikan jurulatih legenda serta berkelas dunia itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta rakan sepasukannya yang lain dalam sektor beregu lelaki.
Malah, ini juga merupakan peluang buat Herry Iman untuk membuktikan sentuhan beliau masih lagi berbisa.
Jawatan ketua jurulatih beregu lelaki negara sebelum ini kosong selepas Tan Bin Shen memilih haluan baharu untuk berhijrah ke Hong Kong.