Cari hotel murah memang seronok, terutama bila nampak harga yang jauh lebih rendah berbanding hotel lain.
Namun, jangan terlalu cepat tekan butang “Book Now” hanya kerana harga nampak berbaloi.
Jumlah review yang banyak juga tidak semestinya menjamin pengalaman menginap yang memuaskan. Kadang-kadang, hotel mempunyai ribuan ulasan tetapi perkara penting yang anda perlukan sebenarnya tersembunyi dalam komen tetamu.
Daripada hanya melihat rating bintang, cuba luangkan sedikit masa untuk membaca review dengan lebih teliti.
Ini lima perkara yang wajib anda cari dalam review hotel sebelum membuat tempahan.
1. Baca komen tentang kebersihan bilik

Ini antara perkara paling penting yang tidak boleh diabaikan.
Gambar hotel dalam platform tempahan mungkin nampak cantik dan kemas, tetapi keadaan sebenar bilik boleh jadi berbeza.
Sebab itu, cuba cari komen tetamu yang menyebut tentang kebersihan seperti cadarnya bersih atau tidak, bilik berhabuk, tandas berbau, lantai melekit atau terdapat kesan kulat.
Jika beberapa tetamu berbeza mengadu tentang perkara yang sama, jangan anggap ia sekadar komen daripada seorang tetamu yang cerewet.
Contohnya, jika anda nampak review seperti “bilik bersih” daripada ramai tetamu, itu boleh menjadi petanda positif. Sebaliknya, jika aduan mengenai tandas kotor atau cadar berbau muncul berulang kali, anda mungkin perlu fikir dua kali.
Tip: Gunakan fungsi carian dalam ruangan review jika platform tempahan menyediakannya dan cari perkataan seperti “clean”, “dirty”, “smell” atau “bathroom”.
2. Tengok apa kata tetamu tentang lokasi sebenar
Hotel yang ditulis sebagai “berdekatan dengan pusat bandar” tidak semestinya bermaksud anda boleh berjalan kaki ke mana-mana.
Ada hotel yang kelihatan strategik pada peta tetapi sebenarnya jauh dari stesen pengangkutan awam, kawasan makan atau tarikan utama.
Sebab itu, baca review yang menyentuh tentang jarak berjalan kaki, akses pengangkutan awam, kawasan sekitar dan kemudahan berhampiran.
Perkara ini lebih penting jika anda bercuti tanpa kenderaan sendiri.
Review tetamu biasanya memberikan gambaran yang lebih realistik berbanding penerangan hotel. Ada yang mungkin berkongsi bahawa hotel hanya lima minit dari stesen MRT, tetapi perjalanan sebenar melibatkan jalan berbukit atau laluan yang kurang selesa untuk berjalan kaki.
Harga bilik memang murah, tetapi kalau anda perlu membayar Grab berkali-kali sehari, akhirnya kos percutian boleh menjadi lebih tinggi.
3. Jangan abaikan komen tentang bunyi bising
Ini antara perkara yang ramai orang hanya sedar selepas check-in.
Bilik hotel mungkin cantik, bersih dan murah, tetapi kalau terletak bersebelahan lif, jalan utama, kelab malam atau kawasan pembinaan, tidur anda mungkin terganggu.
Jadi, cuba cari review yang menyebut perkataan seperti “noisy”, “noise”, “soundproof”, “quiet” atau “loud”.
Perhatikan juga sekiranya tetamu ada menyebut mengenai bunyi bising dari bilik bersebelahan atau koridor.
Kalau anda jenis yang mudah terjaga atau memang mahu berehat selepas seharian berjalan, isu bunyi bising ini sebenarnya lebih penting daripada beberapa kemudahan tambahan yang ditawarkan hotel.
4. Semak komen tentang katil dan kemudahan asas

Jangan terpedaya dengan gambar bilik yang cantik sahaja.
Apa yang lebih penting ialah sama ada bilik itu selesa untuk digunakan.
Baca review berkaitan keselesaan katil, tekanan air, suhu penghawa dingin, pemanas air, Wi-Fi, soket elektrik dan saiz bilik.
Perkara seperti ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh memberi kesan besar kepada pengalaman menginap.
Sebagai contoh, bilik RM100 semalam mungkin kelihatan berbaloi, tetapi jika penghawa dingin tidak sejuk atau Wi-Fi terlalu perlahan, pengalaman anda mungkin tidak seperti yang diharapkan.
Jika anda bekerja ketika bercuti atau perlu menggunakan internet untuk navigasi dan membuat tempahan, Wi-Fi juga antara perkara yang wajar diberi perhatian.
5. Baca review negatif, tetapi lihat coraknya
Ini mungkin tip paling penting.
Jangan terus abaikan hotel hanya kerana ternampak beberapa review satu bintang.
Sebaliknya, cuba faham kenapa tetamu tersebut memberikan rating rendah.
Ada kemungkinan masalah yang berlaku hanya disebabkan situasi tertentu dan bukan sesuatu yang biasa berlaku kepada semua tetamu.
Namun, jika ramai orang memberikan aduan yang sama, itu sudah menjadi tanda yang perlu diberi perhatian.
Contohnya, seorang tetamu mengadu bilik kecil mungkin tidak begitu membimbangkan.
Tetapi jika 20 atau 30 review berbeza menyebut masalah yang sama seperti tandas berbau, bunyi bising atau layanan kakitangan yang kurang baik, anda patut mengambil serius perkara tersebut.
Pada masa sama, jangan hanya baca review paling baru atau paling lama.
Review terbaru biasanya lebih berguna untuk mengetahui keadaan semasa hotel, manakala review lama boleh membantu anda melihat sama ada sesuatu masalah sudah berlarutan untuk tempoh yang lama.