Bila dah jumpa hotel yang nampak cantik dengan harga murah, memang mudah untuk terus tekan butang ‘Book Now’.
Lebih-lebih lagi bila sedang merancang percutian dan nampak promosi yang menawarkan harga jauh lebih rendah daripada hotel lain.
Baca Juga:
- 5 Penginapan Menarik Dan Murah Di Perlis Untuk Percutian Bajet

- Kecewa Penginapan Dibatalkan ‘Last Minute’, Netizen Bantu Wanita Teraniaya Serang Pihak Resort Di Google Review

- 2 Cara Mudah Kesan ‘Hidden Camera’ Di Tempat Penginapan Anda

Tetapi sebelum anda buat bayaran, ada beberapa perkara penting yang sebaiknya diperiksa terlebih dahulu.

Ini kerana harga yang dipaparkan pada awal carian tidak semestinya menjadi jumlah akhir yang perlu dibayar.
Ada juga hotel yang kelihatan menarik dalam gambar, tetapi lokasinya kurang strategik atau kemudahannya tidak seperti yang dibayangkan.
Jadi, sebelum teruja dengan harga murah, semak empat perkara ini terlebih dahulu.
1. Semak lokasi hotel, bukan sekadar nama kawasan

Antara kesilapan biasa ketika memilih hotel ialah hanya melihat nama kawasan tanpa menyemak lokasi sebenar penginapan.
Contohnya, hotel mungkin menggunakan nama kawasan popular sebagai sebahagian daripada alamatnya, tetapi sebenarnya terletak agak jauh dari tempat yang anda ingin kunjungi.
Sebelum booking, buka peta dan semak jarak hotel dengan lokasi utama dalam itinerary anda.
Lihat juga pilihan pengangkutan awam, jarak ke stesen kereta api atau MRT serta kemudahan seperti restoran dan kedai serbaneka berdekatan.
Jika anda merancang untuk banyak berjalan kaki sepanjang percutian, lokasi hotel yang strategik mungkin lebih berbaloi walaupun harganya sedikit mahal.
Kadang-kadang, bayar lebih sedikit untuk hotel yang dekat dengan pengangkutan awam boleh menjimatkan masa dan kos pengangkutan sepanjang perjalanan.
2. Jangan tengok harga bilik sahaja

Harga yang dipaparkan ketika membuat carian tidak semestinya jumlah akhir yang perlu dibayar.
Sebelum membuat bayaran, semak bahagian ‘price breakdown’ atau pecahan harga untuk melihat sama ada terdapat cukai, caj perkhidmatan atau bayaran tambahan lain.
Perkara seperti sarapan pagi, tempat letak kereta, deposit dan caj tambahan tertentu juga boleh berbeza mengikut hotel.
Jadi, jangan terus pilih hotel hanya kerana ia muncul sebagai pilihan paling murah dalam carian.
Bandingkan jumlah keseluruhan yang perlu dibayar untuk tempoh penginapan. Dengan cara ini, anda boleh membuat perbandingan yang lebih tepat antara beberapa hotel.
3. Baca review terbaru, bukan tengok rating sahaja

Rating tinggi memang nampak meyakinkan, tetapi jangan berhenti setakat melihat jumlah bintang.
Luangkan sedikit masa untuk membaca beberapa review terbaru daripada tetamu yang pernah menginap di hotel tersebut.
Perhatikan komen tentang perkara yang benar-benar penting untuk anda seperti kebersihan bilik, keadaan tandas, bunyi bising, katil, penghawa dingin, layanan kakitangan dan keadaan sebenar bilik.
Review lama juga mungkin tidak lagi menggambarkan keadaan hotel sekarang. Sebuah hotel boleh mengalami perubahan dari segi pengurusan, fasiliti atau keadaan bilik selepas beberapa tahun.
Satu lagi tip, jangan hanya membaca review yang terlalu positif. Review yang memberikan kritikan biasanya boleh membantu anda mengenal pasti masalah yang mungkin tidak kelihatan dalam gambar promosi.
4. Semak polisi pembatalan sebelum bayar

Ini antara perkara paling penting tetapi mudah terlepas pandang.
Sesetengah bilik menawarkan harga lebih murah tetapi tidak boleh dibatalkan atau diubah selepas tempahan dibuat.
Jika rancangan perjalanan anda masih belum 100 peratus pasti, pilihan bilik yang menawarkan pembatalan percuma mungkin lebih sesuai walaupun harganya sedikit tinggi.
Sebelum membuat bayaran, semak tarikh akhir pembatalan, sama ada bayaran boleh dikembalikan dan apa yang berlaku jika anda perlu mengubah tarikh penginapan.
Perbezaan harga yang kecil mungkin berbaloi jika ia memberi anda lebih fleksibiliti sekiranya rancangan perjalanan berubah.
Nak booking hotel? Jangan kejar harga murah semata-mata
Mencari hotel murah memang boleh membantu menjimatkan bajet percutian. Namun, harga bukan satu-satunya perkara yang perlu dipertimbangkan.
Sebelum membuat tempahan, semak lokasi, jumlah harga sebenar, review terbaru dan polisi pembatalan. Empat perkara ini boleh membantu anda mengelakkan kejutan yang tidak diingini selepas sampai di destinasi.
Anda juga boleh membandingkan beberapa pilihan hotel melalui platform tempahan seperti Traveloka atau Agoda sebelum membuat keputusan. Semak harga untuk tarikh yang sama dan lihat apa yang termasuk dalam setiap pakej penginapan.
Jadi, sebelum tekan ‘Book Now’, jangan lupa buat sedikit perbandingan terlebih dahulu. Lima minit yang digunakan untuk menyemak detail hotel mungkin boleh menyelamatkan anda daripada masalah sepanjang percutian.