Presiden Persekutuan Bola Sepak Turki (TFF), Ibrahim Haciosmanoglu, menggesa Menteri Kehakiman Turki, Akın Gurlek, supaya mempertimbangkan undang-undang baharu bagi menangani komen dan kritikan yang dianggap melampaui batas moral terhadap pasukan kebangsaan Turkiye.
Di Turkiye Jabatan Kehakiman adalah di bawah pengawasan kerajaan pusat melalui Kementerian Kehakiman Turkiye.
Menurut laporan TV5, Haciosmanoglu mempertahankan skuad Turki yang tersingkir awal daripada Piala Dunia 2026 selepas tewas dalam dua perlawanan pertama kumpulan.
Beliau menegaskan bahawa pemain dan jurulatih Vincenzo Montella adalah individu yang membawa Turki kembali ke Piala Dunia selepas penantian 24 tahun serta membantu pasukan mencapai kejayaan sebelum ini.
Menurutnya, kritikan yang membina adalah sesuatu yang boleh diterima, namun beliau mengecam pihak yang menggunakan bahasa menghina dan menyerang pemain secara peribadi. Haciosmanoglu menyifatkan sesetengah komen sebagai tidak berakhlak dan melampaui batas.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap Montella dan para pemain, sambil menolak spekulasi bahawa TFF akan membuat perubahan besar selepas kegagalan di Piala Dunia. Katanya, kejayaan dan kegagalan perlu dipikul bersama oleh pemain, jurulatih dan pihak pengurusan.
“Kepimpinan saya akan terus berdiri di belakang jurulatih dan para pemain pasukan ini,” kata Haciosmanoglu sambil menggesa Menteri Kehakiman, Akin Gurlek, mengambil tindakan terhadap kritikan yang diterima pasukan kebangsaan.
“Saya ingin mencadangkan kepada Menteri Kehakiman kita, yang sangat saya hormati dan saya kenali sejak beliau berkhidmat sebagai Ketua Pendakwa Raya Istanbul.

“Beliau dilantik ke Kementerian Kehakiman dengan perkenan Presiden kita yang dihormati, dan saya percaya beliau akan memberikan khidmat yang cemerlang kepada negara ini.
“Namun, sudah tentu kita akan terus mengulas, menulis dan mengkritik, tetapi kita tidak boleh melangkaui batas akhlak.
Permintaan khusus saya kepada beliau ialah supaya meneliti contoh-contoh di seluruh dunia. Adakah perkara memalukan seperti ini berlaku di negara lain? Saya percaya satu peraturan undang-undang yang segera perlu diwujudkan bagi menangani isu seperti ini.”
TFF Başkanı İbrahim Hacıosmanoğlu, “Biz bu takımın hocasına da sahip çıkacağız oyuncularına da” dedi, eleştirilere karşı Adalet Bakanı Akın Gürlek’i göreve çağırdı:
“Ben buradan çok sevdiğim, değer verdiğim, beraber de İstanbul Başsavcılığı'yken çalıştığım Adalet Bakanımıza… pic.twitter.com/7pLv3d3jEK
— serbestiyet (@serbestiyetweb) June 22, 2026
Beliau meminta kerajaan mengkaji contoh di negara lain dan mempertimbangkan langkah perundangan bagi menangani penghinaan serta serangan melampau dalam bola sepak.
Menurutnya, usaha itu penting untuk mengelakkan keruntuhan moral dalam masyarakat dan membantu pembangunan bola sepak Turki.
Haciosmanoglu juga menegaskan bahawa walaupun Turki gagal memperoleh keputusan yang diharapkan, beliau masih percaya generasi muda pemain negara itu mampu membawa kejayaan pada masa hadapan jika terus mendapat sokongan daripada penyokong.