Setiap kali pempengaruh masakan dan perniagaan, Khairul Aming membuka jualan sambal, pasti stok jualan akan habis dalam masa yang singkat.

Para pembeli bukan sahaja terdiri daripada para peminat sambal Khairul Aming, bahkan pihak-pihak yang ingin mendapatkan keuntungan atas angin dengan menjadi ‘scalper’.

Sehubungan isu tular baru-baru ini, pendakwah terkenal, Ustaz Dr. Haji Zaharuddin Abd Rahman tampil memberikan penjelasan berhubung isu scalper sambal Khairul Aming.

Tidak Salah Jual Semula Sambal Khairul Aming Lebih Mahal

 

View on Threads

 

Menurut beliau, apabila seseorang memiliki sambal Khairul Aming dan mahu menjual semula lebih mahal daripada harga asal, pemilik sambal itu tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Apabila seseorang telah membeli sambal itu secara sah, menerima dan memilikinya, barang tersebut sudah menjadi hak miliknya. Pada asasnya dia harus menjual semula, termasuk dengan harga RM25, RM50 atau lebih, jika ada pembeli yang secara rela bersetuju membelinya.

“Maka, semata-mata membeli RM15 lalu menjual RM25 tidak menjadikannya haram. Keuntungan 150%, 200% atau lebih juga tidak automatik menjadi haram hanya kerana margin itu besar,” kata beliau.

Tidak Boleh Manipulasi Bekalan Sehingga Memudaratkan

Bagaimanapun, Dr. Zaharuddin berkata kebebasan untuk meletakkan harga ada batasnya. Jika seseorang memanipulasi bekalan atau pasaran sehingga menzalimi orang ramai, hukumnya boleh berubah.

“Dalam kes produk seperti sambal yang bukan barang keperluan asas dan banyak alternatif di pasaran, isu ini LEBIH mudah lagi. Majma‘ sendiri dalam resolusi lain menyatakan bagi barangan yang bukan keperluan atau mempunyai alternatif, pemilik pada asasnya berhak menjual barang miliknya pada harga yang dipersetujui pembeli, selagi tidak membawa kezaliman atau mudarat umum,” jelas beliau.

Tiga Hak Berbeza

Dr Zaharuddin jelaskan lagi, terdapat tiga hak berbeza yang orang ramai perlu fahami dalam isu sambal Khairul Aming ini.

Hak pembeli pertama: selepas sah memiliki barang, dia boleh menjual semula pada harga yang dipersetujui.

Hak pembeli kedua: dia bebas membeli RM25, mencari penjual lain, tunggu stok baharu atau terus boikot harga tersebut. Tiada siapa memaksanya membeli.

Hak pengeluar asal dan Khairul Aming: jika pengeluar sudah menjual pada harga yang ditetapkannya dan tidak terlibat dalam resale tersebut, pada asasnya dia tidak menanggung kesalahan dan tanggungjawab hanya kerana orang lain menjual semula produknya lebih mahal. Dia juga tidak perlu merasa bersalah atas sesuatu yang sudah berada di luar pemilikan dan kawalannya.

“Justeru, kita perlu bezakan antara “saya tidak suka scalper” dengan “scalping itu haram.” Tidak semua perkara yang kita tidak suka dari sudut komersial menjadi haram dari sudut fiqh.

“Pembeli ada hak menjual. Pembeli berikutnya ada hak tidak membeli. Pengeluar pula tidak semestinya bertanggungjawab terhadap setiap transaksi selepas produknya berpindah milik.

“Pasaran juga mempunyai mekanisme hukumannya sendiri: kalau RM25 terlalu mahal, jangan beli. Apabila tiada permintaan, harga akan turun. Wallahu a‘lam,” kongsi Dr. Zaharuddin.