Ibu kepada Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat, 45 mahu kubur anaknya digali semula dan buat bedah siasat untuk tahu punca kematian anaknya pada dua minggu lalu.
“Saya mahu persoalan yang berlegar di kepala berhubung punca sebenar kematian anak saya sejak 14 hari lalu bernoktah. Jadi, demi mendapat jawapan itu dan keadilan untuknya, saya mengarahkan dua peguam menguruskan proses bagi membolehkan kubur anak digali semula untuk melakukan bedah siasat terhadap jenazahnya,” katanya.
Baca Juga:
Memetik Berita Harian, Noraidah yang tinggal di Sipitang berkata, pengebumian jenazah anaknya pada malam 17 Julai lalu dilakukan tanpa proses bedah siasat kerana tidak ada pihak mencadangkan kepadanya untuk berbuat demikian.
Kematian tragis anak tunggalnya itu menyebabkan dia yang terkejut dan sedih, tidak dapat berfikir tenang dan mahu anaknya dikebumikan segera.
Namun keesokannya mereka sekeluarga menyedari wujud faktor tertentu yang mencurigakan berhubung kematian Zara Qairina.
Sehubungan itu, beliau mahu polis melakukan siasatan telus berhubung kes itu. Pada masa sama beliau menggesa bedah siasat yang pertama terhadap jenazah Zara Qairina perlu dibuat bagi memperincikan punca kecederaan dan kematiannya.
“Pelbagai cerita disebarkan berhubung kematian Zara Qairina dan ia mengguris hati saya. Ia bukan keluar daripada mulut saya, jadi saya mahu semua pihak hentikan spekulasi itu.
“Saya akui kesedihan akibat tragedi menimpa Zara Qairina tak akan padam dan banyak persoalan timbul. Saya mahu tahu punca sebenar kematiannya, justeru proses bedah siasat perlu dilakukan dan kuburnya perlu digali semula.
“Apa pun keputusan yang keluar hasil bedah siasat itu kelak dan siasatan polis, saya terima dengan reda kerana ia menjawab segala persoalan yang masih tiada jawapan sehingga kini,” katanya kepada Berita Harian.
Polis Bukit Aman rakam keterangan 60 saksi kes Zara Qairina
Polis sudah merakam keterangan 60 saksi membabitkan pelajar, ibu bapa dan kakitangan sekolah berhubung kes kematian Zara Qairina.
Rakam keterangan itu dibuat termasuk tiga individu dengan nama ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’ iaitu antara nama disebut mempunyai kaitan dengan kes kematiannya.
