Rakyat Malaysia dikejutkan dengan satu insiden di mana seorang pelajar tingkatan satu, Zara Qairina, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga blok asrama di SMKA Tun Datu Mustapha, Papar.
Selepas bertarung nyawa di hospital, Zara menghembuskan nafas terakhir pada 17 Julai 2025. Meskipun siasatan masih berjalan dan punca kejadian belum dapat disahkan, ramai pihak mula membuat spekulasi bahawa Zara mungkin telah menjadi mangsa buli.
Fadhlina Sidek jamin tindakan sewajarnya akan diambil
Kementerian Pendidikan (KPM) merakamkan ucapan takziah kepada waris pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata tindakan sewajarnya akan diambil berdasar kepada hasil siasatan berkenaan.
“Ketika ini, kejadian sedang dalam siasatan pihak polis. KPM akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
“Hormati privasi keluarga dan beri ruang sepenuhnya kepada siasatan sedang dijalankan pihak berkuasa. Tindakan sewajarnya akan diambil berdasar kepada hasil siasatan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, Jabatan Pendidikan Sabah juga sudah menyalurkan bantuan segera kepada keluarga, termasuk dalam aspek sokongan psikososial.
Hukuman lebih berat buat pembuli

Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 yang mula berkuat kuasa secara rasmi pada 11 Julai lalu memberi fokus khusus terhadap kesalahan buli.
Pelaksanaan kedua-dua akta ini turut bertujuan memperkemaskan prosedur perundangan, meningkatkan kecekapan proses keadilan jenayah dan memberi ruang kepada tindakan yang lebih pantas serta tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang.
Akta ini dilihat dapat melindungi golongan rentan seperti kanak-kanak, remaja serta individu yang mengalami tekanan akibat gangguan emosi.
Lebih 5,000 kes buli direkodkan pada 2023, dan itu hanya yang dilaporkan. Realitinya, jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi.