Buli bukan hanya sekadar fizikal tetapi secara mental. Jika kita sering mendengar buli di sekolah, bagaimana pula buli di tempat kerja?
Tanda-Tanda Anda Dibuli di Tempat Kerja dan Cara Menanganinya
Buli di tempat kerja adalah satu isu serius yang boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan mental dan prestasi seseorang.

Namun, ramai yang mungkin tidak sedar bahawa mereka sebenarnya sedang menjadi mangsa buli, namun dianggap ‘biasa’ oleh rakan kerja yang lain. Mengambil pandangan daripada Cik Sofiah Atiqah, Clinical Psychologist di Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai, berikut adalah tanda-tanda utama bahawa anda mungkin sedang dibuli di tempat kerja.
Tanda-Tanda Anda Dibuli di Tempat Kerja
1. Serangan Peribadi dan Emosi
Anda diejek, atau direndahkan di hadapan rakan sekerja, dikritik secara keterlaluan tanpa sebab yang jelas dan diberikan nama panggilan yang menghina atau tidak enak didengar.
2. Beban Kerja yang Tidak Adil
Anda diberikan tugasan yang tidak masuk akal atau jauh lebih banyak berbanding rakan sekerja lain, dipaksa melakukan kerja yang di luar skop jawatan anda dan disabotaj dengan informasi yang tidak lengkap atau masa yang tidak mencukupi untuk menyiapkan tugasan.
3. Dipulaukan atau Diasingkan
Tidak dijemput dalam mesyuarat penting yang berkaitan dengan kerja anda, dikecualikan daripada perbualan sosial atau aktiviti berkumpulan dan pandangan anda tentang sesuatu tidak diendahkan atau diketepikan walaupun ia sesuatu yang positif untuk syarikat.
4. Penyalahgunaan Kuasa atau Ancaman
Ditekan atau diugut dengan pemecatan tanpa sebab yang munasabah dan dipaksa melakukan sesuatu di luar bidang tugas kerana diancam akan diturunkan gred dan sebagainya.
5. Gangguan dan Intimidasi
Sering dipantau secara keterlaluan tanpa sebab yang jelas berbanding rakan kerja yang lain, dikenakan hukuman yang lebih berat berbanding rakan sekerja lain untuk kesalahan yang sama.
6. Manipulasi dan Pembohongan
Dijadikan ‘kambing hitam’ untuk kesalahan yang bukan anda lakukan.
Sekiranya anda pernah menghadapi isu-isu seperti ini, cara terbaik untuk hadapinya adalah dengan berbincang dengan orang atasan anda atau berpindah ke unit lain atau berpindah ke tempat kerja yang baharu.
Cara lain untuk hadapi buli di tempat kerja boleh dibaca di sini.
Jadi Buddy, Bukan Buli merupakan satu kempen khas oleh The Vocket untuk sama-sama menangani kes buli di samping menyediakan satu platform selamat untuk mangsa buli berkongsi luahan tanpa identiti didedahkan.
Layari www.thevocket.com/jadibuddybukanbuli untuk berkongsi luahan atau membaca perkongsian daripada pakar.
#JadiBuddyBukanBuli #KawanBukanLawan